PETALING JAYA: MNRB Holdings Berhad (MNRB) mengumumkan pelantikan Datuk Rudy Rodzila Che Lamin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif subsidiari takaful amnya, Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS General), berkuat kuasa semalam.
Rudy mempunyai pengalaman selama 28 tahun dalam industri kewangan, perbankan dan insurans.
“Rudy mengambil alih jawatan tersebut daripada Eddy Azly Abidin, yang bersara berkuat kuasa pada 29 November lalu selepas menerajui syarikat selama tiga tahun,” kata MNRB dalam kenyataan.
Mengulas pelantikan tersebut, Pengerusi MNRB, Datuk Johar Che Mat berkata, Lembaga Pengarah yakin dengan pengalaman luas Rudy serta perspektifnya yang mendalam dalam sektor institusi kewangan, dapat memimpin Takaful IKHLAS ke fasa baharu pertumbuhan perniagaan.
“Kami percaya pengetahuan dan pengalaman beliau dalam industri dapat menyumbang kepada gabungan
kualiti dan kepakaran yang sempurna untuk jawatan baharu beliau.
“Lembaga Pengarah juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Eddy Azly atas sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang berkhidmat bersama Takaful IKHLAS General, terutamanya dalam menangani cabaran akibat pandemik COVID-19,” katanya. – UTUSAN









