Untung bersih Maybank RM1.68 bilion - Utusan Malaysia

Untung bersih Maybank RM1.68 bilion

Dalam memacu agenda kelestarian, antara cabaran utama yang dikenal pasti dalam Laporan Landskap Kewangan Mampan di Malaysia ialah kualiti dan ketersediaan data yang lemah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih rendah berbanding RM1.95 bilion suku ketiga 2020

PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank), mengumumkan pendapatan operasi bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 meningkat 1.2 peratus kepada RM6.15 bilion daripada RM6.08 bilion sebelumnya berikutan kenaikan 14.3 peratus tahun ke tahun dalam jumlah pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM4.72 bilion.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku itu berada pada RM2.27 bilion daripada RM2.61 bilion setahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih lebih rendah pada RM1.68 bilion berbanding RM1.95 bilion tahun sebelumnya disebabkan penurunan pendapatan berasaskan fi bersih kepada RM1.43 bilion.

Prestasi itu berikutan pengurangan dalam pendapatan berasaskan fi dan peningkatan kerugian rosot nilai bersih yang lebih ketara berbanding kenaikan dalam pendapatan berasaskan dana.

Ia didorong terutamanya daripada pendapatan pelaburan dan dagangan yang lebih rendah, berserta kerugian rosot nilai bersih yang lebih tinggi atas peruntukan proaktif tambahan yang dibuat memandangkan tahap perintah kawalan pergerakan yang berbeza-beza merentasi pasaran tempatan Malaysia, Singapura dan Indonesia yang dilaksanakan pada suku ketiga baru-baru ini.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, walaupun terdapat kesan perintah kawalan pergerakan terhadap prestasi suku ketiga Kumpulan, kecairan dan asas modal Kumpulan yang kukuh akan membolehkannya memanfaatkan peluang pertumbuhan yang muncul dengan pembukaan semula ekonomi.

“Memandangkan Malaysia melihat pemulihan ekonomi pada suku keempat 2021 berikutan kadar vaksinasi yang kukuh dan peningkatan dalam perniagaan serta mobiliti masa lapang dan pelancongan, kami akan menyasarkan diri untuk pertumbuhan baharu dan menyokong para pelanggan dalam memanfaatkan pemulihan ekonomi ini sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias memaklumkan, Kumpulan akan menyediakan penyelesaian kewangan yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan semasa pelanggan yang telah beralih daripada pemuliharaan kepada pertumbuhan dengan pembukaan semula ekonomi, disamping terus menyokong pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan bersasar.

“Kami akan membantu pelanggan memanfaatkan peluang pertumbuhan yang timbul daripada pemulihan dan supaya mereka dapat mengekalkan diri mereka bergerak ke hadapan dalam persekitaran operasi baharu ini.

“Ini termasuk menyokong pelanggan dalam menerima pendigitalan dalam operasi mereka, meneroka bentuk penyelesaian pembiayaan alternatif dan mempertimbangkan penyelesaian pelaburan yang boleh membantu mengembangkan kekayaan mereka,” jelasnya.

Dalam tempoh sembilan bulan ini, kerugian rosot nilai bersih berkurangan sebanyak 28.3 peratus kepada RM2.56 bilion daripada RM3.57 bilion setahun sebelumnya setelah Kumpulan mendapat manfaat daripada pendirian berhemat awalnya dalam mempercepatkan andaian peruntukan yang berpandangan ke hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×