PETALING JAYA: Guru yang sengaja tidak mahu mengambil vaksin hanya menjejaskan fokus Kementerian Pendidikan memberi ilmu secara sistematik selain tindakan tersebut membebankan guru lain yang sudah divaksin.
Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, sikap pentingkan diri itu menyebabkan proses penyampaian ilmu mempunyai halangan kerana kumpulan tidak mahu divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka.
Kata beliau, tenaga pengajar tersebut akan ditempatkan di dalam bilik khas untuk menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Sikap mereka itu sekali gus memberi tekanan kepada sistem pendidikan ketika pembukaan sekolah sepatutnya pelajar dapat menimba ilmu secara bersemuka iaitu kaedah yang lebih baik daripada PdPR tetapi mereka menutup peluang pelajar terlibat.
“Malah disebabkan mereka diisolasi bagi mengelakkan kebimbangan ibu bapa, guru-guru yang divaksin terpaksa menggalas tanggungjawab lebihan yang sepatutnya dilakukan kumpulan guru yang enggan mengambil vaksin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong menggesa Kementerian Pendidikan meneliti punca sebenar menyebabkan sejumlah guru enggan divaksin bagi mengenal pasti langkah penyelesaian seterusnya sesi pengajaran bersemuka lancar.
Sebelum itu, tular satu klip video di sebuah sekolah memaparkan beberapa guru yang enggan menerima vaksin ditempatkan di sebuah bilik kecil bersebelahan dengan laluan ke tandas.

Mengulas lanjut, Mohd. Azizie berkata, tindakan seperti dalam klip video itu wajar bagi mengelak komunikasi antara mereka dengan pelajar dan guru yang sudah divaksin.
“Apa yang sekolah perlu buat adalah pastikan bilik khas tersebut lengkap dengan kemudahan untuk melakukan proses pembelajaran dan mempunyai fasiliti yang mudah untuk mereka mendapatkan akses tanpa bersemuka dengan warga sekolah lain,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM), Datuk Sabri Arshad pula melabelkan guru enggan yang divaksin sebagai `angkuh’.
“Tanggungjawab mereka adalah untuk mendidik, tetapi disebabkan keangkuhan mereka gagal untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, jadi amanah yang diberikan itu seperti tidak penting kepada mereka.
“Ruang untuk mengajar sudah ada tapi mereka enggan menggunakan sebaik mungkin. Saya sendiri jumpa ibu bapa dan mereka sendiri mendakwa proses pembelajaran secara bersemuka lebih baik untuk anak-anak mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










