PETALING JAYA: Untung bersih Gagasan Nadi Cergas Berhad meningkat dua kali ganda kepada RM13.7 juta dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 berbanding RM6.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi memberangsangkan itu dipacu model perniagaan yang pelbagai dalam mengharungi cabaran persekitaran operasi yang sukar.
Dalam tempoh kumulatif itu juga, pendapatan kumpulan menyaksikan penurunan kepada RM145 juta berbanding RM151.2 juta tahun lalu memandangkan pendapatan pembinaan lebih rendah sebanyak RM91.5 juta berbanding RM128.9 pada sembilan bulan 2020.
Pengarah Urusan Kumpulan, Wan Azman Wan Kamal berkata, segmen pendapatan berulang dan pembangunan hartanah yang berdaya tahan terus menyokong kumpulan dalam mengekalkan keuntungan walau halangan yang dihadapi segmen pembinaan.
“Kesan ke atas keseluruhan industri pembinaan telah ditonjolkan antara Mei hingga Ogos 2021, apabila tapak pembinaan tidak dibenarkan beroperasi kerana pelaksanaan sekatan pergerakan sebagai langkah membendung wabak Covid-19.
“Namun tapak pembinaan kami dapat beroperasi semula sejak akhir Ogos dan kami agak optimistik dalam mencapai prestasi yang lebih baik menjelang tahun baharu 2022 semasa kami menyerahkan buku pesanan bernilai RM2.5 bilion, termasuk memenangi kontrak PNB Merdeka Ventures dan Kwasa Land baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.
Gagasan Nadi Cergas terus mencatat untung pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 mencatatkan keuntungan bersih RM1.1 juta daripada RM1.2 juta pada suku sama 2020.
Ini adalah hasil daripada pendapatan suku semasa yang lebih rendah sebanyak RM41.1 juta daripada RM56 juta sebelum ini.
Segmen pembinaan telah terjejas oleh pelbagai sekatan yang dikenakan semasa suku tahun, yang menyaksikan pendapatan merosot kepada RM27.5 juta daripada RM48 juta setahun lalu.
Segmen pendapatan berulang dan pembangunan hartanah kekal kukuh pada suku ketiga dengan mencatatkan pendapatan RM13.7 juta berbanding RM8 juta pada suku sama tahun lalu. – UTUSAN










