MASIH terbayang bunyi siren ambulans yang nyaring di pekarangan asrama dan melihat rakan-rakan universiti dijangkiti Covid-19. Situasi cukup merisaukan Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zaki, yang ketika itu bergelut menempuh tahun pertama pengajian di Universiti Perubatan Volgograd, Rusia.
Sudahlah berada di negara asing tanpa keluarga, kes jangkitan pula semakin meningkat. Malah suatu ketika Rusia mencatatkan angka jangkitan Covid-19 kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.
Namun, di sebalik kebimbangan, kehidupan anak kedua daripada tiga adik beradik itu masih warna-warni walaupun negara itu terus menyumbang kes harian mencemaskan, lebih-lebih lagi apabila perintah sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan.
Itulah antara kenangan dilalui jejaka 20 tahun itu yang sedang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan Am di universiti berkenaan. Dia merasakan pengalaman sedemikian perlu dikongsikan agar masyarakat lebih memahami situasi semasa pandemik di negara bekas Soviet itu.
“Mama (ibu) cadangkan saya menulis dan bukukan pengalaman kerana ia berharga bukan hanya sekadar disimpan dalam memori.
“Dengan tunjuk ajar daripada mama, saya cuba menulis walaupun sibuk belajar demi mengejar cita-cita menjadi seorang doktor. Insya-Allah, buku ini juga mungkin boleh dibaca secara e-book tidak lama lagi selain akan diterjemahkan dalam bahasa Rusia melalui kerjasama dengan bekas pensyarah Universiti Malaya, Profesor Victor Pogadaev dan Pusat Nusantara di Rusia,” katanya memulakan bicara.
Membaca helaian demi helaian buku Senandika Cinta & Korona di Rusia, ia membuatkan pembaca seperti berada di negara itu. Satu catatan pengalaman menarik menggunakan gaya penulisan yang mudah difahami.
Malah ia mampu mendorong kita menjadikan Rusia sebagai pilihan negara perlu dikunjungi selain merasakan betapa bersyukur situasi pandemik di Malaysia. Walaupun ada pihak menghentam polisi kerajaan dalam mengawal penularan pandemik, tetapi jika dibandingkan dengan situasi yang dihadapi oleh rakan-rakan Ahmad Ashraff Haiqal yang dikuarantin akibat jangkitan Covid-19, keadaan di Malaysia jauh lebih baik.
PULANG KE MALAYSIA
Baru berada di tahun pertama pengajian, Ahmad Ashraff Haiqal sudah menempuh banyak ranjau. Sepatutnya tahun kedua pengajian, dia dan rakan-rakan perlu menjalani latihan amali di hospital atau klinik.
Ketika itu, polisi di hospital dan klinik di Rusia belum bersedia untuk mengambil pelajar bagi latihan amali. Faham situasi itu, dia menyuarakan keinginan untuk pulang ke tanah air sekiranya ada tempat untuk latihan amali di Malaysia. Malangnya, dasar hospital kerajaan juga tidak membenarkan pelajar membuat latihan amali kerana takut dijangkitii.
Walaupun berpeluang berjalan-jalan, namun dia masih takut kerana penduduk di sana masih menjalani kehidupan seperti biasa – tanpa pelitup muka dan penjarakan fizikal sedangkan kes jangkitan terus meningkat.
Namun, selepas kerajaan mengenakan sekatan pergerakan, rakyat Rusia mula patuh pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Banyak bandar di Rusia seakan mati. Ketika itu, pelajar hanya tinggal di asrama dan tidak dibenarkan keluar melebihi radius 10 kilometer.
Di sebalik itu, dia turut teruja dan kagum melihat bagaimana kepimpinan negara tersebut bertungkus lumus membangunkan vaksin sebagai langkah pencegahan Covid-19. Dengan dos vaksin Sputnik V, Rusia mencapai kehidupan normal tanpa penjarakan fizikal dan pelitup muka pada awal tahun ini.
Setelah sekatan pergerakan dilonggarkan, peluang untuk menjelajah ke seluruh Rusia terus terbuka luas, namun dia masih bimbang dengan penambahan angka kes positif.
Atas nasihat keluarga, dia memilih untuk pulang ke tanah air. Malangnya, Rusia masih tidak membuka ruang udara untuk pesawat luar masuk. Namun, rezeki buat dia dan rakan-rakan apabila penerbangan repatriasi menurunkan harga tiket kerana kurang mendapat sambutan.
Walaupun teruja dapat pulang bersama keluarga, namun jauh di sudut hatinya tetap rindu yang terlalu mendalam pada Rusia. Ahmad Ashraff Haiqal berharap supaya dunia cepat sembuh daripada Covid-19 kerana banyak lagi tempat dan negara mahu dikunjunginya selain mahu menyambung pengajian secara fizikal.
TUKAR PERSEPSI
Ketika ditanya mengapa memilih Rusia sebagai pilihan untuk menyambung pengajian, dia dengan tenang menjawab, Rusia memiliki teknologi moden dan ke depan, kepelbagaian budaya, keunikan rekaan bangunan selain faktor nilai mata wang lebih rendah.
Katanya, kali pertama menjejakkan kaki ke Rusia sudah cukup membuka matanya untuk menangkis pandangan buruk terhadap negara itu.
Sebelum ini, banyak sisi buruk Rusia didengarnya, namun apabila merasai sendiri segala yang diperkatakan, ternyata hanya omongan kosong. Rakyat di sana sangat baik hati dan mesra lebih-lebih lagi jika kita pandai berbahasa Rusia. Malah mereka juga tidak kedekut menghulurkan bantuan.
Menurutnya, Rusia adalah antara negara yang wajib dilawati kerana negara itu bukan sahaja cantik tetapi bersih. Walaupun di pasar raya, tidak terbau hanyir ikan atau makanan basah lain.
Begitu juga sistem pengangkutannya, sangat efisien. Keindahan dan keunikan stesen metro di sana seperti memasuki ballroom hotel lima bintang. Setiap stesen mempunyai rekaan dan tema berlainan. Sudah pasti menjadi kegilaan jurugambar dan mereka yang meminatii bidang reka bentuk.
“Saya akan terus menulis agar orang ramai lebih memahami budaya dan keunikan Rusia.,” katanya.










