Jika kanak-kanak lain banyak menghabiskan masa bermain permainan dalam talian, Awwal Haiqal Mohd Safuan, 11, memilih aksi dunia nyata dengan berlumba motosikal mini untuk mengisi masa lapangnya.
Mungkin ada yang berpandangan hobi itu tidak begitu sesuai untuk seorang kanak-kanak kerana berisiko tinggi. Namun bagi Awwal Haiqal dia seronok menunggang motosikal mini yang berupaya mencapai kelajuan hingga 60 kilometer sejam.
“Menunggang motosikal mini ini memberikan kepuasan dan keseronokan yang tiada galang gantinya,” katanya kepada Utusan Malaysia membuka bicara.
Mula berjinak-jinak dalam sukan permotoran selepas neneknya menghadiahkan sebuah pocket bike pada hari jadinya yang keenam.
Sejak itu, dia mula menyertai komuniti motosikal mini dan aktif mengikuti sesi latihan serta perlumbaan anjuran komuniti berkenaan.
Hingga kini Awwal Haiqal sudah menyertai pelbagai pertandingan di seluruh negara dan pernah menaiki podium bagi kategori junior.
Selain itu, dia turut menyertai dua kejuaraan Mini Cub Prix Kementerian Belia dan Sukan yang melibatkan 10 pusingan, masing-masing pada 2018 dan 2019.
Pada 2020, Awwal Haiqal menyertai Kejohanan SIC MiniGP 2020 bagi kategori 110 cc dan mendapat tempat keempat keseluruhan dan ketiga semasa perlumbaan kedua.
Anak kelahiran Muar, Johor ini turut menjadikan pelumba motor negara Hafizh Syahrin Abdullah sebagai idolanya.
Malah murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Warisan, Sepang, Selangor ini memasang cita-cita menjadi penunggang profesional.
“Saya mahu jadi pelumba berjaya seperti Hafizh Syahrin,” katanya yang turut meminati juara MotoGP sembilan kali, Valentino Rossi.
Dia yang kini menunggang motosikal mini grand prix turut bertuah kerana mendapat sokongan keluarga termasuk bapanya, seorang anggota polis trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

KOS TINGGI
Walaupun sukan itu memerlukan belanja tinggi, ia bukan alasan ibu Awwal tidak menyokong minat permata hatinya.
Ibunya, Siti Azielah Wahi, 36, berkata, sukan membabitkan enjin memerlukan belanja besar daripada segi penyelenggaraan.
“Jika ada yang kata sukan ini sukan ‘orang kayangan’ saya setuju. Tayar juga perlu kerap ditukar. Begitu juga dengan kelengkapan keselamatan seperti sut lumba, topi keledar, sarung tangan dan kasut lumba,” katanya yang memperuntukkan kira-kira RM2,000 sebulan untuk sukan anaknya.
Satu sesi latihan mereka perlu menyewa trek RM150 sehari, manakala yuran penyertaan perlumbaan pula boleh mencecah ribuan ringgit.
Menurut Siti Azielah, anaknya turut terpilih berlumba di SIC Ohvale Junior Championship yang akan memulakan perlumbaan bulan ini di Litar Antarabangsa Sepang dan Langkawi, namun mereka terpaksa menarik diri atas faktor kewangan dan masa.
Dalam pada itu, beliau sedang mencari penaja supaya anaknya dapat menyertai perlumbaan litar lebih besar pada masa akan datang di peringkat antarabangsa.
MANFAAT MOTOSIKAL MINI:
Jadi lebih berdisiplin.
Kuat semangat.
Tidak mudah mengalah.
Mempunyai daya tumpuan yang tinggi.
Merangsang fizikal dan mental.
TIPS:
Berikan galakan dan dorongan.
Sediakan keperluan yang mesti ada untuk menyokong keselamatan anak termasuk sut, kasut, helmet, sarung tangan yang sesuai untuk keselamatan mereka.
Amalkan pemakanan sihat kerana untuk kecerdasan dan kecergasan.
Bawa mereka ke tempat bermain yang sesuai. Kalau kemampuan carikan jurulatih.










