JUMLAH orang dewasa di negara ini yang sudah lengkap divaksin mencecah 95 peratus. Pelbagai sektor mula dibuka termasuklah sekolah dan pusat pelancongan.
Malangnya kebebasan pergerakan yang dikecapi kini menjadikan ramai dalam kalangan kita mula selesa dengan keadaan semasa sehingga lupa tentang risiko ancaman virus Covid-19 yang masih tinggi.
Saya melihat ramai yang mula mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kembali kepada kebiasaan cara hidup lama sebelum wabak melanda.
Di tempat-tempat awam, ramai bersesak-sesak tanpa menjaga penjarakan fizikal. Malah semakin ramai yang bersalaman dan bersentuhan seolah-olah tiada lagi risiko penyebaran virus walaupun terdapat banyak papan tanda yang mengingatkan tentang cara penjagaan SOP di kawasan-kawasan sering dikunjungi ramai.
Tentu ramai dalam kalangan kita yang telah melihat gambar dan video pelancong-pelancong ke Pulau Langkawi berduyun-duyun mahu mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera, seolah-olah mereka hidup di zaman pra 2020.
Apa gunanya kita mengimbas kod tersebut jika kita sedang meletakkan diri pada risiko tinggi untuk dijangkiti virus Covid-19 dengan tidak menjaga jarak antara satu sama lain?
Mungkin ada dalam kalangan kita sudah lupa bagaimana sukarnya kehidupan rakyat pada kala wabak ini sedang mengganas tidak lama dahulu?
Bukan sahaja ramai yang hilang mata pencarian, malah ramai juga kehilangan ahli keluarga dan sahabat handai tersayang. Malah, ramai juga kanak-kanak menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.
Ingatlah, pengambilan vaksin hanya dapat mencegah jangkitan Covid-19, namun ia tidak dapat menjadikan kita kebal daripada dijangkiti virus ini.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.











