Pengorbanan demi perpaduan - Utusan Malaysia

Pengorbanan demi perpaduan

PERPADUAN antara kaum perlu diberikan keutamaan kerana ia menjamin kemajuan berterusan. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA beberapa faktor yang boleh menyebabkan komunikasi lisan tidak berkesan. Salah satunya ialah bahasa. Apabila bahasa digunakan oleh satu pihak tidak difahami pihak lagi satu, maka proses komunikasi tersebut gagal.

Apabila dua pihak dari satu kumpulan besar tidak dapat berkomunikasi dengan berkesan, perlahan-lahan ia boleh menimbulkan konflik dalam kalangan mereka.

Salah faham, kontroversi dan prasangka negatif mudah tercetus manakala hubungan semakin renggang dan ketegangan mudah tercetus.

Kita aplikasikan komunikasi lisan ini kepada situasi hubungan kaum dan perpaduan di negara ini. Menurut Ethnologue.com, Malaysia mempunyai lebih 130 bahasa termasuk dialek.

Ini semua adalah salah satu unsur penghalang kepada komunikasi lisan yang berkesan antara kaum, malah di dalam kumpulan kaum itu sendiri. Sebagai sebuah negara yang meraikan kepelbagaian kaum, komunikasi lisan yang berkesan adalah faktor amat penting.

Dengan keberkesanan komunikasi lisan inilah yang akan menyebabkan hubungan antara kaum lebih harmoni kerana kesemuanya saling memahami.

Bukan tujuan hendak menyatakan perpaduan kaum di Malaysia adalah buruk, apa yang tersirat ialah masih ramai tidak selesa untuk berkomunikasi dengan kaum yang lagi satu atas alasan tidak boleh bertutur dalam bahasa masing-masing dengan fasih.

Bagi mengatasi halangan komunikasi lisan, setiap warganegara perlu menguasai bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dengan baik.Bukan bertujuan menafikan bahasa-bahasa ibunda kaum lain kerana mereka juga ada hak untuk menggunakannya, dipelajari dan dikembangkan.

Saya ada ramai rakan lepasan sekolah menengah persendirian Cina. Mereka mula bergaul dengan pelbagai kaum apabila masuk ke dunia pekerjaan.

Mereka dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan agak baik tetapi sekadar cukup untuk berkomunikasi.

MERIAH

Maknanya mereka mempunyai tatabahasa yang terhad. Sementara individu yang tidak banyak bergaul dengan kaum lain, penguasaan bahasa kebangsaan amat rendah.

Golongan ini amat tidak selesa jika berada dalam kelompok pelbagai kaum kerana masalah komunikasi. Tetapi jika berada dalam kelompok bangsa sendiri, mereka amat meriah.

Tidak dinafikan, sejarah pendidikan Cina di negara kita amat lama, mencecah 200 tahun di mana sekolah terawal dipanggil Sekolah Kemakmuran Kelima dikatakan didirikan sekitar 1819 di Pulau Pinang dan banyak lagi sekolah lain mencecah usia 100 tahun.

Maka pertubuhan seperti Dong Jiao Zhong amat bangga dengan warisan mereka.

Namun perpaduan antara kaum perlulah diberikan keutamaan kerana ia menjamin kemajuan berterusan. Perpaduan kaum akan menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan kehidupan seluruh rakyat.
Sedikit pengorbanan perlu dilakukan oleh semua pihak.

Saya mencadangkan sekolah menengah persendirian Cina hendaklah memastikan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar mencapai tahap yang lebih baik. Ini supaya selepas keluar dari alam persekolahan, mereka dapat bergaul dengan masyarakat berbilang kaum dengan lebih yakin dan selesa.

Mungkin Dong Jiao Zhong perlu mengkaji untuk menambah subjek diajar dalam bahasa kebangsaan kepada 40 peratus daripada jumlah silibus yang digunakan.

Umpamanya, Sejarah boleh diajar dalam bahasa kebangsaan menggunakan silibus dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan. Dengan ini, peluang menguasai bahasa kebangsaan akan lebih baik.

Walaupun bukanlah penyelesaian mutlak kepada masalah perpaduan, namun ia satu lagi langkah ke hadapan. Sekiranya ini dapat dilakukan, pihak yang lagi satu perlulah berkorban, iaitu tidak perlu lagi tekanan diberi mengenai isu sekolah menengah persendirian Cina atau sekolah vernakular.

Di samping mengekalkan sekolah berasaskan bahasa ibunda, pada masa sama, murid-murid sekolah ini juga menguasai bahasa kebangsaan yang baik, yang merupakan asas kepada menghasilkan rakyat Malaysia bertoleransi dan mudah untuk mencipta perpaduan kerana sudah tiada lagi kekangan bahasa.

Inilah satu pengorbanan kecil untuk menjamin kejayaan dalam menghasilkan suasana kehidupan rakyat yang harmoni dan sejahtera dalam suasana perpaduan sebenar.

PENULIS ialah Pengerusi Biro Perpaduan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×