TINDAKAN Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Glasgow, Scotland, baru-baru ini menarik perhatian masyarakat.
Boleh dikatakan ini kali pertama kita dapat menyaksikan bahasa kebangsaan berkumandang dalam acara antarabangsa seperti itu. Tahniah dan terima kasih kepada kepada Tuan Ibrahim.
Kita berharap perkembangan ini akan membuka lembaran baharu dengan menjadi teladan kepada pemimpin lain untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di pelbagai peringkat khususnya di pentas antarabangsa.
Ironinya, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi kita. Justeru, kita tidak perlu malu, segan ataupun berasa rendah diri untuk berucap dalam bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Malah fenomena ini juga bukan luar biasa kerana budaya berucap dalam bahasa masing-masing telah lama diamalkan oleh pemimpin negara-negara lain seperti China, Jepun, Jerman, Rusia, Perancis dan Indonesia.
Jangan lupa, bahasa adalah jiwa bangsa, iaitu melambangkan ciri atau identiti sesebuah bangsa yang merdeka dan mempunyai jati diri kental.
Cuma perkara ini jarang atau hampir tidak berlaku di negara kita. Bukan sahaja tidak menggunakan bahasa Melayu di pentas antarabangsa, malah cukup menyedihkan, masih ramai dalam kalangan pemimpin kita lebih gemar berucap dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di pelbagai majlis mahupun mesyuarat di negara sendiri. Begitulah nasib bahasa Melayu di bumi sendiri, umpama melukut di tepi gantang.
Ringkasnya, bahasa Melayu seolah-olah menumpang di negara sendiri ekoran sikap masyarakat yang lebih menyanjungi bahasa Inggeris sedangkan kedudukannya adalah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan.
Walaupun bahasa Melayu terjamin melalui peruntukan Perlembagaan, namun masih banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan tarafnya.
Jadi, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu baik di negara kita mahupun di peringkat antarabangsa memerlukan komitmen tinggi daripada semua lapisan masyarakat terutama pemimpin negara.
Setiap seorang daripada kita perlu memainkan peranan signifikan tanpa meletakkan beban itu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata.
Dalam perkhidmatan awam misalnya, sudah ada peraturan atau arahan jelas melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 – Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam.
BAHASA ROJAK
Pekeliling ini menetapkan semua agensi kerajaan bersama-sama pegawai hendaklah memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor perkhidmatan awam dilaksanakan.
Ia hendaklah bersifat menyeluruh dan digunakan dengan betul dalam semua urusan rasmi sama ada berbentuk tulisan mahupun lisan. Tetapi adakah ketetapan ini dipatuhi sepenuhnya oleh semua penjawat awam?
Jujurnya, masih banyak lagi mesyuarat mahupun majlis rasmi yang dikendalikan sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa rojak, iaitu percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Pekeliling dan peraturannya sudah cukup jelas dan tidak ada sebarang cacat-cela, cuma masalahnya adalah sikap sesetengah pegawai kerajaan yang lebih mengagungkan bahasa Inggeris membantutkan usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam sektor awam.
Pada masa sama, bagaimana pula sumbangan sektor swasta dalam memperkasa kedudukan bahasa Melayu?
Boleh dikatakan kedudukan bahasa Melayu di sektor swasta jauh lebih menyedihkan kerana tiada sebarang peraturan yang mengikat mereka.
Ini menyebabkan orang korporat dengan terang-terangan mengutamakan bahasa Inggeris dalam hampir semua urusan rasmi dan harian mereka sekali gus meminggirkan bahasa kebangsaan. Apakah kita wajar membiarkan amalan seperti ini berterusan?
Jujurnya, kita perlu memberi perhatian kepada pemerkasaan bahasa Melayu dalam sektor swasta kerana syarikat-syarikat besar dan bertaraf antarabangsa banyak berurusan dengan individu dan syarikat dari luar negara.
Maka peluang itu sewajarnya digunakan untuk kita meningkatkan reputasi bahasa Melayu di mata dunia terutamanya dalam dunia korporat antarabangsa.
Tuntasnya, janganlah malu untuk berucap dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan ketika berurus niaga dengan orang luar.
Sudah tiba masanya untuk kita lebih serius dalam melaksanakan inisiatif bagi memartabatkan bahasa Melayu. Paling penting, kita perlu buang jauh-jauh rasa malu untuk berucap dalam bahasa Melayu dalam apa jua keadaan sekalipun.
Pedulikan sikap segelintir anggota masyarakat kita sendiri yang suka menyindir kerana mereka inilah sepatutnya malu kerana tidak mempunyai nilai jati diri yang tulen.
Seterusnya, hentikan budaya mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Budaya berbangga dan memandang tinggi individu yang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris perlu dihentikan dengan segera kerana ia akan mengancam usaha untuk menggalakkan semua pihak meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan harian.
Kita tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa global tetapi tidak perlulah mengutamakannya sehingga terpaksa menganaktirikan bahasa sendiri.
Penggunaan bahasa rojak juga perlu disekat sepenuhnya kerana ia mencemarkan kedua-dua bahasa sekali. Ini satu penyakit bahasa yang semakin menjadi trend dalam kalangan anggota masyarakat kita.
Tindakan golongan ‘dua alam’ seperti ini langsung tidak membantu meningkatkan imej bahasa Melayu.
Sebagai warganegara, marilah kita berbangga untuk berucap dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
Jangan mudah menggadai nilai identiti dengan mengagung-agungkan bahasa asing. Ingat, bahasa kita, tanggungjawab kita.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










