AWAL tahun ini, Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran mendedahkan, 28,926 orang atau 72 peratus ahli kumpulan gangster di negara ini merupakan kaum India.
Angka itu sama dengan laporan media pada Ogos 2013 di mana disebut ada 40,313 ahli pertubuhan haram, kongsi gelap atau kumpulan gangster yang dikenal pasti.
Daripada jumlah itu, ada 1,923 orang Melayu, 8,214 orang Cina dan 28,926 orang India. Statistik hampir sama dikeluarkan Bukit Aman pada September 2018.
Memang agak menghairankan bagaimana boleh ada begitu ramai samseng kaum India sekarang sedangkan pada masa dahulu, kongsi gelap dikaitkan dengan kaum Cina.
Sekiranya kita rajin membaca buku berkaitan sejarah dan masyarakat, maka akan jelas ‘kongsi’ dan huay kuan bermula dalam kalangan komuniti Cina yang datang ke Singapura dan Malaya pada masa silam, khususnya susulan perkembangan industri perladangan dan perlombongan bijih timah.
Kumpulan Gee Hin dan Hai San sering bergaduh berebut kawasan bijih timah di Kelian Pauh dan Kelian Baru (kini Taiping, Perak) sejak 1861 sehingga membawa kepada Perang Larut.
Penyelesaian dicapai menerusi Perjanjian Pangkor (1874) yang turut menandakan campur tangan British secara rasmi di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Walaupun kongsi bermula sebagai usaha melindungi dan menjaga kebajikan migran Cina yang datang dari pelbagai wilayah di Tanah Besar China, lama-kelamaan penjajah British mendapati sebahagian kumpulan itu bertukar menjadi gangster yang mengancam orang awam dan pentadbiran British.
Enakmen 1899 yang digubal berkembang menjadi Enakmen 1949 dan akhirnya dikenali sebagai Akta Pertubuhan 1966.
Langkah ini bagi membendung pertubuhan haram yang disyaki menerima dana melalui saluran tidak betul dan menyalurkan wang kepada pihak pengganas seperti komunis.
Bagaimana pula kaum India mula terlibat? Selain Gee Hin dan Hai San yang dinyatakan tadi, wujud juga kongsi bernama Hua Kee yang aktif pada 1950-an di sekitar Bentong, Pahang.
Ia dikatakan terlibat dalam aktiviti meminta wang perlindungan dan bergaduh bagi merebut wilayah yang dikuasai.
Kongsi gelap itu mula menerima ahli kaum India yang datang meminta perlindungan serta bersedia melakukan aktiviti jenayah kecil-kecilan untuk mendapatkan upah. Dari situlah muncul kumpulan gangster India pada 1980-an.
Akhbar Times of India (28 Julai 2016) memetik pandangan pensyarah kriminologi Universiti Sains Malaysia, Dr. P. Sundramoorthy bahawa kumpulan gangster kaum India sebenarnya dikawal ketua atau ‘taiko’ Cina dan Melayu. Ahli kaum India biasanya membuat kerja seperti menghantar dadah, memeras ugut dan menjadi pembunuh upahan.
Diskriminasi kaum, upah rendah di ladang dan kemudian di pekan/bandar serta kekurangan peluang pekerjaan sejak 1970-an disebut sebagai punca ramai kaum India (khususnya orang Tamil) menjadi penjenayah dan gangster.
Apabila estet mula bertukar tangan dan dimajukan menjadi kawasan perumahan, kumpulan tanpa kemahiran dan tiada pendidikan menjadi golongan miskin bandar.
POLITIKUS
Sementara kumpulan samseng Cina dan Melayu berperanan melindungi kaum sendiri, gangster India yang lahir dalam kemiskinan, penindasan dan tiada pekerjaan dikatakan menjadi samseng untuk mengumpul wang, bukan melindungi kaum sendiri.
Ada individu menjadi ahli pada usia 13 tahun dan terlibat dalam aktiviti mencuri, memeras ugut dan mengambil dadah. Ramai mati sebelum mencapai umur 21 tahun.
Menurut Sivarraajh lagi, pelajar kaum India juga menyertai kumpulan samseng yang terlibat dalam aktiviti gangsterisme.
Dalam usaha menangani dan membanteras masalah ini, sesi kaunseling di sekolah bukan intervensi yang berkesan.
Sivarraajh berkata, gangsterisme berpunca daripada masalah sosioekonomi dan kemiskinan. Maka, langkah yang lebih sesuai adalah memberi peluang pekerjaan kepada ibu bapa pelajar terbabit.
Walaupun ada undang-undang, bagaimana kumpulan gangster masih bermaharajalela? Kita selalu mendengar desas-desus ada kaitan antara kongsi gelap dengan pegawai polis, politikus dan pihak berkuasa.
Sivarraajh menegaskan, tentu ada sokongan pihak tertentu. Ini bukan andaian dan tuduhan tidak berasas kerana dari semasa ke semasa, ramai pegawai polis berpangkat tinggi ditahan kerana terlibat membantu kongsi gelap.
Dalam situasi seperti ini, apakah cara menyelamatkan belia dan remaja kaum India daripada lingkaran syaitan ini? Saya meminta pandangan beberapa rakan untuk dikongsi di sini.
“Penyertaan dalam aktiviti sukan lasak boleh dilakukan di padang atau dewan kuil dan kompleks sukan. Persahabatan positif sesama rakan sebaya akan menghapuskan pengaruh negatif dari luar,” kata Vikneswaran Muniandy dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Jika ada didikan dan perhatian yang baik sejak kecil daripada ibu bapa, sudah pasti masalah ini tidak berlaku. Ibu bapa perlu menjadi contoh baik. Perlu utamakan pelajaran dan beri bahan bacaan yang baik kepada anak-anak,” M. Mahendran dari Bentong, Pahang mencadangkan.
“Golongan India B40 harus menggalakkan anak-anak yang tidak begitu celik akademik menyertai kursus kemahiran seawal usia 13 tahun.
“Anak-anak boleh ditempatkan sebagai pekerja sambilan di bengkel motosikal dan kereta, bidang logistik, pengurusan sampah dan pembinaan. Mereka yang boleh cari makan sukar direkrut kongsi gelap,” A. Sugumaran dari Shah Alam, Selangor mengusulkan.
“Kaum India harus sedia membantu masyarakat sendiri, misalnya menyokong perniagaan yang dijalankan kaum India. Sokongan sosial ini secara tidak langsung akan membantu kaum India meningkatkan taraf hidup sekali gus mengurangkan gejala sosial dan tarikan gangsterisme,” kata Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor.
“Buat lawatan ke penjara untuk memberi kesedaran kepada pelajar. Biar mereka tahu masa depan yang menanti samseng dan kongsi gelap. Apabila kanak-kanak dan remaja ada kesedaran, kumpulan gangster akan lumpuh sedikit demi sedikit,” usul D. Prem Kanna dari Rawang, Selangor.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











