PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2023 dan platform digital MYStartup untuk membina ekosistem syarikat pemula (startup) yang kondusif.
SUPER adalah pelan untuk membangunkan ekosistem pemula negara yang dinamik, sejajar dengan Wawasan 2030, manakala MYStartup pula adalah portal sumber maklumat yang menyediakan perkhidmatan pemudah cara menyeluruh untuk rangkaian ekosistem pemula.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, SUPER bertindak sebagai matlamat utama bagi semua dasar dan panduan lain negara yang berkaitan dengan pemula.
Pelan tersebut katanya, selari dengan dasar Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021- 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara.
“Matlamat SUPER bukan sahaja untuk memanfaatkan ekosistem pemula Malaysia malah meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan pelaburan dalam teknologi teras.
“MYStartup juga merupakan usaha MOSTI untuk menyatukan pemain ekosistem dan menggalakkan kerjasama strategik.
“Melalui platform nasional itu, kolaborasi berimpak tinggi akan dipergiat bersama-sama perkhidmatan pemberian sokongan dan bimbingan berterusan dalam mewujudkan startup yang boleh berkembang,” katanya dalam ucapan pelancaran SUPER dan MYStartup, semalam.
Dalam Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta kepada agensi di bawah MOSTI, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle).
Cradle diberi mandat sebagai pengurus ekosistem pembangunan syarikat pemula daripada fasa permulaan sehingga pertumbuhan, untuk meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Rafiza Ghazali berkata, pelancaran SUPER dan MYStartup bakal membuka lebih banyak pintu, meluaskan rangkaian serta memberikan rangsangan untuk pemulihan yang teguh ekonomi negara pasca Covid-19.
“Saya menyeru semua usahawan, pelabur, penyelidik, jurulatih atau mentor, pemegang taruh ekosistem pemula dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama melaksanakan SUPER agar Malaysia boleh mencapai matlamat lonjakan ekosistem pemula Malaysia, dan menjana masa depan bersama,” katanya.
Syarikat pemula, pelabur, pemain industri dan pembina ekosistem digalakkan mendaftar di www.mystartup.gov.my bagi mendapatkan akses kepada cerapan dan sumber mengenai ekosistem startup di Malaysia. – UTUSAN










