Turtle Lab kolaborasi pemuliharaan penyu - Utusan Malaysia

Turtle Lab kolaborasi pemuliharaan penyu

Dr. Mazlan Abd Ghaffar (kiri) mengiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri berkunjung ke Turtle Lab di Pulau Redang, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH makmal penyu bersaiz mini diwujudkan di Lobi The Taaras Beach & Spa Resort, Pulau Redang bukanlah makmal yang biasa.

Makmal Penyu atau Turtle Lab itu terhasil daripada cetusan idea dan kolaborasi erat antara Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Berjaya Corporation Berhad.

Menurut Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, UMT, Dr. Mohd. Uzair Rusli, universiti tersebut adalah institusi pengajian tinggi yang amat mengambil berat berkaitan penyu sejak awal 1990-an.

DR. MOHD. UZAIR RUSLI

Malangnya, spesies itu kian diancam kepupusan dek kerakusan sebilangan kecil orang awam yang menjadikan penyu sebagai hidangan eksotik selain digunakan dalam penghasilan aksesori.

Permintaan telur penyu yang tinggi di pasaran gelap juga menjadi faktor utama bilangan penetasan penyu menurun.

“Pelbagai inisiatif dilakukan oleh pihak UMT melalui Sea Turtle Research Unit (SEATRU) dalam memastikan spesies itu masih wujud pada masa akan datang.

“Dengan kewujudan Turtle Lab di Pulau Redang, usaha pemuliharaan penyu tidak hanya fokus kepada masyarakat setempat.

“Sebaliknya, ia bertindak sebagai pusat penyebaran maklumat berkaitan kepentingan pemuliharaan penyu bagi kestabilan ekosistem marin kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Usaha itu juga mendapat sokongan padu daripada daripada pemilik syarikat tersebut, Tan Sri Vincent Tan terhadap usaha konservasi penyu oleh SEATRU,” katanya.

INISIATIF PEMBELIAN TELUR PENYU

Pihak SEATRU juga mewujudkan inisiatif pembelian telur penyu yang dijual oleh penduduk setempat bagi mengelakkan telur itu dijadikan hidangan, sebaliknya dieram demi mengekalkan kelestarian populasi penyu.

“Usaha itu kian mendapat perhatian kerajaan sehingga pantai berkenaan diwartakan sebagai Santuari Penyu Chagar Hutang pada tahun 2005 atau lebih dikenali sebagai Stesen Penyelidikan Alami Penyu (SPAP), Pantai Chagar Hutang.

“Makmal UMT di Pulau Redang merupakan satu keperluan bagi memudahkan aktiviti penyelidikan berikutan keadaan di Stesen Penyelidikan Penyu Chagar Hutang kekurangan fasiliti dan kemudahan elektrik untuk melancarkan kecekapan usaha-usaha penyelidikan,” kongsinya.

SEATRU juga mewujudkan inisiatif membeli telur penyu bagi mengelak dijadikan sajian, sebaliknya dieramkan.

TURTLE LAB

Melihat kepada aspek penyelidikan, Turtle Lab telah menjadi medium kepada para penyelidik SEATRU untuk mempunyai pelbagai variasi bidang kajian.

Fasiliti di makmal itu telah menarik penyelidik luar menjalinkan kolaborasi strategik dalam menjalankan penyelidikan mereka.

Menurut Dr. Mohd. Uzair, selama tiga tahun penubuhan Turtle Lab, lebih 5,700 individu dari 36 negara berkunjung ke makmal itu.

“Melihat kepada penerimaan yang tinggi daripada orang ramai dalam usaha konservasi penyu, SEATRU mengambil kesempatan dengan menghasilkan produk sendiri.

“Ia dikenali sebagai BatiKita, berteraskan batik asli Terengganu mempunyai motif penyu yang mendapat suntikan daripada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Wakaf Tapai dan pengusaha batik tempatan.

“Keberhasilan makmal itu dalam menghubungkan orang ramai dengan sains penyu amat membanggakan melalui sokongan pelancong yang berterusan dalam program sukarelawan penyu yang dijalankan setiap tahun,” ujarnya.

PENYU adalah spesies haiwan yang dilindungi dan dipulihara serta mempunyai nilai komersial dalam sektor pelancongan negara.

Selain pelancong luar, komuniti setempat iaitu penduduk Kampung Pulau Redang juga tidak ketinggalan mengunjungi Turtle Lab.

Program tahunan Kem si Penyu yang dijalankan oleh SEATRU bersama Sekolah Kebangsaan Pulau Redang (SKPR) memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman di Turtle Lab dalam melihat saintis menjalankan penyelidikan terhadap haiwan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×