Elak buta akibat AMD basah - Utusan Malaysia

Elak buta akibat AMD basah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai dalam kalangan kita mengetepikan simptom masalah mata dalam kalangan orang tua. Ini kerana menganggapnya sebagai kehilangan penglihatan normal atas faktor penuaan atau penyakit mata lain yang mungkin tidak perlu diberi perhatian yang begitu serius.

Ini termasuklah kemerosotan makula disebabkan penuaan (AMD).

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr. Nor Fariza Ngah berkata, AMD antara penyakit kemerosotan mata kronik dan salah satu punca utama kehilangan penglihatan serius kepada individu berusia 50 tahun dan ke atas.

Ada dua jenis AMD iaitu AMD kering (dry AMD) dan AMD basah (wet AMD atau nAMD). Amnya, perkembangan AMD kering agak perlahan dan kurang serius berbanding AMD basah.

DR. NOR FARIZA NGAH

Namun, kedua-dua jenis AMD boleh merosakkan penglihatan pusat yang membenarkan individu melihat butiran objek di hadapan dengan terperinci.

“Jika mengalami simptom yang mungkin menandakan kemerosotan makula disebabkan penuaan atau AMD, jangan berlengah. Segeralah berjumpa pakar oftalmologi.

“Masa sangat kritikal. Jangan biarkan penglihatan kita atau orang yang dikasihi terus merosot, daripada kabur menjadi buta,” katanya dalam pelancaran brolucizumab, terapi anti-VEGF terkini oleh Novartis.

Turut hadir, Presiden dan Pengarah Urusan Novartis Malaysia, Patrik Grande.

AMD basah

AMD basah ialah penyakit mata kronik dan progresif. Ia menyerang golongan tua dan boleh mengakibatkan pesakit jadi buta dengan cepat jika tidak dirawat.

Kata Dr. Nor Fariza, penyakit itu menyebabkan salur darah yang abnormal tumbuh di bawah makula dan ia adalah salah satu punca utama warga emas melebihi usia 65 tahun hilang penglihatan dengan parah atau buta di Amerika Utara, Eropah, Australia dan Asia.

“Makula ialah bahagian tengah retina dalam mata yang memberikan penglihatan pusat yang tajam dan jelas serta kebolehan mengenali warna.

“Salur darah yang tumbuh bawah makula ini rapuh dan boleh bocor lalu menyebabkan penakungan cecair dan juga darah di dalam makula. Inilah yang menimbulkan istilah AMD basah,” katanya.

Dianggarkan lebih 20 juta manusia di dunia menderita penyakit ini.

Di Malaysia, ada kira-kira 46,000 orang berusia lebih 45 tahun menghidap AMD basah yang mendedahkan diri kepada risiko buta kekal.

Gejala awal

Antara gejala awal AMD basah ialah pandangan yang herot-berot (metamorfopsia) dan kesukaran melihat objek dengan jelas.

Dr. Nor Fariza berkata, bagi menangani hal jadi lebih teruk, diagnosis dan rawatan segera amat penting.

“Apabila penyakit ini melarat, ia mengakibatkan kerosakan sel berlaku dengan lebih teruk, lantas mengurangkan mutu penglihatan. Ini boleh mengakibatkan penglihatan pusat hilang sepenuhnya.

“Pada peringkat akhirnya, pesakit tidak lagi boleh hidup berdikari kerana pancaindera itu sudah rosak,” katanya.

Kaedah Rawatan

Beberapa dekad dahulu, harapan pesakit AMD basah memelihara penglihatan, sangat tipis. Dengan kemerosotan penglihatan dalam jangka masa tertentu, kebutaan sudah pasti.

Sebelum 80-an, tiada rawatan bagi penyakit ini. Pada awal 80-an, laser haba mula diperkenalkan manakala sekitar tahun 2000, terapi fotodinamik tampil sebagai pilihan.

Walau bagaimanapun, pada 2005, barulah penyekat faktor pertumbuhan endotelium vaskular atau anti-VEGF, dihasilkan. Rawatan ini sekali gus memberi harapan menambahbaik penglihatan pesakit.

Jelas Dr. Nor Fariza, anti-VEGF ialah ubat suntikan untuk menyekat VEGF yang berlebihan di dalam mata. Ia menggalakkan pertumbuhan salur darah secara abnormal di bawah makula.

Katanya rawatan itu dapat ‘mengeringkan’ cecair di dalam retina, sekali gus melambatkan perkembangan AMD basah. Rawatan biasanya bermula dengan suntikan bulanan dan keputusan untuk memanjangkan selang masa sehingga suntikan yang seterusnya didasarkan kepada respon penyakit terhadap rawatan tersebut.

TERAPI anti-VEGF dapat membantu pesakit mengekalkan penglihatan.

Bagi melakukan prosedur ini, suntikan anti-VEGF diberikan ke dalam vitreus.

“Suntikan ke dalam mata, membantu pesakit mengekalkan penglihatan. Bagi kebanyakan kes ia berjaya memulihkan penglihatan. Walau bagaimanapun, pesakit memerlukan dos terapi anti-VEGF yang kerap supaya perkembangan penyakit dapat dikawal,” katanya.

Elak kekerapan suntikan

Brolucizumab berpotensi memanjangkan selang waktu antara dos kepada tiga bulan, membolehkan pengurangan kekerapan suntikan.

Patrik Grande berkata, dengan adanya jadual rawatan yang lebih mudah diikuti, pesakit tidak perlu keluar dengan begitu kerap semasa tempoh pandemik ini ia dapat meluangkan lebih masa untuk menumpukan perkara yang penting dalam hidup mereka.

“Dalam bidang oftalmologi, kami bermatlamat menghasil dan menyampaikan ubat dan terapi yang mampu mengubah kehidupan untuk merawat penyakit dan masalah kesihatan daripada belakang sehingga ke depan mata,” katanya.

Brolucizumab, agen terapeutik anti-VEGF diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara Malaysia dan juga kelulusan pertama di rantau ini pada 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×