Ahli Pas sokong BN tidak gugat PN - Utusan Malaysia

Ahli Pas sokong BN tidak gugat PN

KAMARUDIN SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pas mengakui wujud segelintir kecil ahlinya membantu kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetapi yakin ia tidak memberikan kesan kepada Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, peluang PN untuk menang kerusi ditandingi kekal tinggi kerana jumlah mereka sangat kecil.

Beliau kemudian menyifatkan situasi berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek itu sebagai isu terpencil dan bukan penolakan dalam kalangan akar umbi Pas terhadap calon-calon PN.

“Dua ahli Pas itu merupakan ahli tidak aktif dalam parti, malah, tidak aktif dalam sebarang mesyuarat dan aktiviti parti.

“Malah, kedua-duanya mempunyai hubungan dan sentimen kekeluargaan dengan calon BN yang bertanding di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau mengulas sebuah berita semalam yang melaporkan terdapat dua ahli Pas yang membantu kempen dan menyokong calon BN di atas semangat Muafakat Nasional (MN).

Kamarudin kemudian menambah, terdapat juga ahli-ahli UMNO yang mengunjungi bilik gerakan DUN pilihan raya PN yang ditan­dingi oleh calon daripada Pas.

Sebaliknya beliau menjelaskan tindakan itu tidak bermakna mereka menyokong dan membantu kemenangan calon PN dalam PRN Melaka.

“Hubungan MN dan PN adalah dua perkara berbeza. Jalinan MN masih ada wujud, namun, pilihan raya ini tidak memisahkan hubungan antara ahli Pas dan UMNO.

“Walaupun dalam suasana pilihan raya, masing-masing boleh duduk makan, minum bersama sekalipun berkempen untuk calon lawan,” katanya.

Sementara itu, Kamarudin menepis dakwaan bahawa keputusan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan lesen baharu premis judi ada kaitan dengan PRN Melaka.

Katanya, situasi dua negeri adalah perkara berbeza dan terpulang kepada kerajaan Kedah untuk memutuskan perkara tersebut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×