Along tak gentar lawan bekas KM - Utusan Malaysia

Along tak gentar lawan bekas KM

FAIRUL NIZAM ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Asahan yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dilihat mampu memberikan kemenangan kepada calonnya, Fairul Nizam Roslan.

Walaupun Asahan ditandingi enam penjuru, namun calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Idris Haron paling mencuri tum­puan sebagai pencabar utama BN.

Mana tidaknya, Idris membawa bersama pengalaman luas dunia politik dan pernah menjadi Ketua Menteri Melaka selama lima tahun bermula 2013 hingga 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, beliau juga terpalit kontroversi sehingga menyebabkan Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Melaka terpaksa diadakan 20 November ini.

Bagi Fairul Nizam yang lebih dikenali sebagai Along, latar belakang Idris yang dilihat gah itu tidak sedikit pun menggentarkannya, malah menganggap ia sebagai kelebihan kerana tampil sebagai muka baharu.

Menurut beliau, calon baharu dinilai sebagai orang baharu yang tidak memiliki sebarang stigma negatif dalam kalangan pengundi.

“Saya lihat pertandingan kali ini terbuka untuk semua calon. Diletakkan sebagai calon baharu adalah satu kelebihan berban­ding calon lama kerana rekod pentadbiran dan perkhidmatan lampau dinilai pengundi.

“Rakyat sekarang tidak mudah tertipu dan pandai menilai. Sebagai calon baru sudah tentu kehadiran saya lebih segar berbanding calon sedia ada. Saya akan buat yang terbaik di DUN Asahan sekiranya pengundi memberi kepercayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain Fairul Nizam dan Idris, DUN Asahan turut ditandingi calon Perikatan Nasional (PN), Dhanesh Basil bersama tiga lagi calon Bebas, Mohd. Noor Salleh, Azmar Ab. Hamid serta Mohd. Akhir Ayob.

Fairul Nizam yakin mampu memenangi kerusi itu kerana memiliki jentera BN yang kukuh.

Jelasnya, penerimaan pengundi Melayu, Cina dan India juga semakin meningkat kerana melihat kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Undi di pihak BN masih tidak berpecah. Kalau lalu dapat dikekalkan dan pengundi PN dan PH beralih kepada kami, insya-Allah BN menang,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini