Isu pemanasan bumi perlu ditangani - Utusan Malaysia

Isu pemanasan bumi perlu ditangani

PENINGKATAN jumlah kenderaan yang melepaskan gas karbon monoksida bukan saya menyumbang kepada pencemaran udara tetapi juga turut menyumbang kepada isu pemanasan bumi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melindungi alam sekitar dan memastikan ia sentiasa bersih merupakan tanggungjawab semua lapisan masyarakat.

Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021 memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memberi komitmen kepada usaha dan tindakan yang betul bagi menangani isu pemanasan bumi.

Pengarah Konservasi WWF-Malaysia, Dr. Henry Chan berkata, melindungi alam sekitar bermaksud mengurangkan jejak karbon pada masa sama wujudkan kelebihan berdaya saing dalam ekonomi hijau.

“Alam semula jadi adalah sekutu kita dalam usaha menangani isu-isu dihadapi dalam negara dan peringkat global. Oleh itu, penyelesaian berasaskan alam semula jadi perlu diketengahkan dalam usaha memajukan dan menangani perubahan iklim.

DR. HENRY CHAN

“Penyelesaian berasaskan alam semula jadi bermaksud bekerja dengan alam semula jadi, bukan menentang alam semula jadi demi kebaikan semua pihak.

“Oleh itu, Malaysia mempunyai potensi untuk mewujudkan kelebihan berdaya saing bagi jangka panjang dengan bertindak secara proaktif ke atas perubahan iklim, tetapi ia perlu bermula pada

hari ini, bagi masa depan yang mampan dan lebih bersih,” katanya dalam sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) baru-baru ini.

LALUAN SIFAR BERSIH

Dr. Chan berkata, dalam usaha membantu mengurangkan pemanasan bumi, WWF-Malaysia dan Boston Consulting Group (BCG) menjalin kolaborasi untuk menjalankan satu kajian bebas mengenai laluan-laluan sifar-bersih atau net-zero pathways yang berpotensi bagi Malaysia.

Kajian itu katanya, bertujuan menunjukkan laluan sifar-bersih optimum menjelang tahun 2050 dan menentukan kerjasama pihak diperlukan untuk mencapai perkara ini.

“Sifar-bersih bermaksud setiap molekul gas rumah hijau yang dikeluarkan perlu disingkirkan. Pada asasnya, hutan kita bertindak untuk menyingkirkan gas-gas rumah hijau ini daripada atmosfera.

“Penting bagi kita untuk mengekalkan sebanyak mungkin hutan yang bertindak sebagai sinki karbon,” katanya.

Lantaran itu katanya, hutan yang masih ada perlu dipulihara dan kawasan yang terhakis perlu dipulihkan dengan spesies pokok tempatan supaya ia akan berkembang dan dapat memainkan peranan ekologi bagi semua benda hidup.

“Ketika impak krisis iklim dialami pada peringkat global, negara tidak boleh mengambil langkah dengan mengubah sebarang jenis hutan kepada pembangunan,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya turut bersedia berkolaborasi bersama syarikat lain mengenai laluan sifar bersih untuk negara.

“WWF-Malaysia dan BCG ingin berkolaborasi dengan syarikat korporat, pelabur, kerajaan dan sektor sosial untuk membincangkan kemungkinan bagi laluan sifar-bersih.

“Kita juga merancang melengkapkan kajian ini sebelum Persidangan Perubahan Iklim dan Konvensyen Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pihak-Pihak di Glasgow (juga dikenali sebagai COP 26) pada November 2021,” katanya.

Pendidikan alam sekitar kepada para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu dilaksanakan untuk memastikan pemuliharan alam berjalan lancar.

PEMBELAJARAN ALAM SEKITAR DI SEKOLAH

Dr. Chan turut menegaskan penutupan sekolah sepanjang tempoh pandemik Covid-19 jelas menunjukkan hubungan pelajar terputus dengan alam semula jadi.

Oleh itu katanya, perlu untuk diwujudkan sistem pembelajaran yang lebih baik dalam mengetengahkan kepentingan alam sekitar meliputi iklim, alam semula jadi serta isu-isu rakyat.

“Sokongan dari banyak pihak adalah penting dalam merangka masa depan pendidikan alam sekitar negara.

“Pelan ini juga harus menangani penyelesaian kepada kekangan belanjawan dalam sektor pendidikan, latihan guru-guru, kaedah pengajaran dan pendekatan bagi pelajar dan orang dewasa, bahan sumber pengajaran, struktur urus tadbir.

“Usaha ini harus dilihat sebagai menyokong dasar-dasar Malaysia berkaitan alam sekitar seperti Sumbangan Ditentukan Negara (Nationally Determined Contributions), Dasar Negara mengenai Kepelbagaian Biologi 2016-2025,

“Dasar Negara mengenai alam sekitar dan lain-lain, selari dengan komitmen Malaysia kepada Perjanjian-perjanjian Antarabangsa seperti Perjanjian Paris, Konvensyen mengenai Biodiversiti dan Pendidikan bagi Pembangunan Mampan: Ke Arah Mencapai Matlamat-Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×