PENGLIBATAN anggota bomba dalam membantu urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 bukan tugas mudah. Sebaliknya menuntut kekuatan fizikal dan mental.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II Rozizah Abni Hajar, 52, berkata, setiap hari sekurang-kurangnya satu kematian dilaporkan dan jumlah itu meningkat kepada lima kematian ketika kes memuncak beberapa bulan lalu.
Malah, katanya, seramai tujuh anggotanya yang terlibat dalam tugasan berkenaan disahkan positif Covid-19.
Menurutnya, keadaan itu sekali gus memberi cabaran besar kepada pasukannya terutama dalam memastikan keselamatan anggota sepanjang mengendalikan pengebumian berkenaan.
“Jika sebelum ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdepan dengan kes-kes kemalangan, kebakaran atau lemas, kini tugas kami semakin mencabar apabila diberi tanggungjawab menguruskan jenazah Covid-19.
“Kami perlu memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) selama hampir dua jam untuk setiap satu kes dan bayangkan jika kematian mencecah lima kes dalam tempoh sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di BBP Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Rozizah berkata, pengalaman baharu sepanjang 31 tahun berkhidmat itu adakalanya turut menuntutnya menenangkan waris jenazah di tanah perkuburan berikutan tidak dapat turut serta dalam urusan berkenaan.
Menjadi wanita pertama dilantik sebagai ketua balai di Terengganu pada 2018, anak jati Perak itu sekali gus membuktikan kemampuan dan kewibawaannya dalam menerajui organisasi hingga kini.
Ibu kepada empat anak itu berkata, walaupun organisasi kebombaan didominasi kaum Adam tetapi bukan halangan untuknya memimpin sebuah balai kategori kelas A (balai besar dan berisiko).
“Pada awalnya saya tidak berpengalaman dalam operasi kerana tugasan lebih tertumpu di pejabat sebagai pegawai latihan di samping pegawai perhubungan awam JBPM.
“Sebagai ketua, saya perlu memantau keselamatan anggota ketika operasi menyelamat seperti lemas, kemalangan atau kebakaran.
“Saya bersyukur kerana dikelilingi pegawai serta anggota yang dedikasi, komited malah saling menghormati antara satu sama lain sekali gus melancarkan tugasan di BBP Kuala Terengganu,” katanya.
JBPM perlukan lebih ramai anggota wanita
Rozizah berkata, daripada keseluruhan 91 petugas dari pelbagai unit di BBP Kuala Terengganu, hanya dua sahaja anggota wanita berkhidmat di balai berkenaan.
Katanya, JBPM memerlukan lebih ramai anggota kaum hawa bagi memenuhi tuntutan semasa seperti pengendalian kes melibatkan mangsa wanita.
Namun, katanya, golongan wanita di luar sana perlu memiliki semangat yang kuat dan minat yang mendalam sebelum melibatkan diri sebagai pelatih atau rekrut baharu.
“Di Terengganu, kita kekurangan anggota wanita berbanding di Lembah Klang, jadi dalam kes-kes tertentu anggota lelaki terpaksa berdepan situasi mendukung mangsa wanita.
“Bagaimanapun, ada kalangan orang awam yang tidak faham, sebab itu sangat penting untuk kami memiliki anggota wanita dalam pasukan,” katanya.

Rozizah berkata, hanya semangat jitu akan menjadikan wanita terutama golongan muda mampu menjadi anggota bomba yang berjaya jika berhasrat menyertai JBPM.
“Dari segi latihan tiada perbezaan antara pelatih lelaki dan wanita, malah aspek kecergasan juga perlu tinggi kerana kebanyakan set peralatan yang berat.
“Kita sangat memerlukan anggota wanita di lapangan bagi membantu melicinkan operasi menyelamat dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya.











