MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek merupakan satu-satunya kawasan di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya yang dimenangi Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Di bawah Parlimen berkenaan, tiga lagi DUN iaitu Pengkalan Batu, Ayer Keroh dan Bukit Katil dimenangi Pakatan Harapan (PH) manakala Ayer Molek pula dimenangi oleh Datuk Rahmad Mariman yang mewakili BN.
Namun nama Rahmad sekali lagi dipertaruhkan untuk kerusi sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini dan menjadi cabaran besar baginya untuk menang semula serta memberi sumbangan kerusi DUN kepada BN agar terus memegang tampuk kepemimpinan kerajaan negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rahmad berkata, beliau tidak pernah menjanjikan bulan bintang sejak PRU-14 namun hanya perkhidmatan terbaik demi masa depan warga Ayer Molek dan rakyat Melaka secara umumnya.
Namun beliau mengakui akan wujud banyak cabaran daripada pihak lawan dalam PRN kali ini termasuk jika berlaku pertandingan sehingga tiga penjuru.
“Cabaran menjadi adat dan lumrah biasa dalam dunia politik, namun rakyat boleh lihat sendiri rekod pencapaian saya yang tidak bermusim dalam membantu rakyat di DUN ini sejak 2018 dan sepanjang saya menjadi Exco Kesihatan bagi melawan Covid-19.
“Perkara ini saya yakin menjadi sandaran dan ingatan pengundi untuk menang semula pada PRN ini,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri itu.
Rahmad merupakan antara empat calon yang dikekalkan BN dalam PRN Melaka manakala selebihnya menampilkan muka-muka baharu dalam kalangan calon muda, wanita dan pelbagai latar belakang.
Mengulas pencalonan semula, katanya, beliau akan cuba sedaya upaya memberikan kemenangan kepada BN dan akhirnya dapat menyumbang satu kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.
Rahmad akan ditentang oleh Mohd. Fadli Samin daripada Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Mohd. Rafee Ibrahim daripada PH-PKR. – UTUSAN ONLINE
Keputusan PRU-14 DUN Melaka
Rahman Mariman (BN) 6,951 – Menang
Farhan Ibrahim (PH-PKR) 5,146
Jantan Abdullah (Pas) 3,082
Prof. Madya Dr. Kamarolzaman Mohd. Jidi (Bebas) 79
Pengundi berdaftar: 15,513
Majoriti: 1,805










