“NEGARA yang lebih baik, insya-Allah dapat diwujudkan jika prinsip ketiga dan prinsip keempat Rukun Negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang diberikan nafas, dihayati dan dihormati setiap masa serta urus tadbir negara dilaksanakan secara jujur, telus dengan amanah dan berintegriti berpaksikan undang-undang.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Minggu ini, ramai yang membincangkan tentang keputusan kes melibatkan kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut universiti itu bagi pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Hakim juga memutuskan hukuman tiga tahun pemenjaraan ke atas keenam-enam tertuduh beserta 12 tertuduh lain atas kesalahan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan yakni menyebabkan cedera bagi memeras pengakuan bersalah atau memaksa supaya harta dipulangkan.
Ramai mengucapkan rasa syukur dan lega dengan keputusan mahkamah kerana merasakan penghakiman ini merupakan titik noktah penyudahan bagi insiden yang tragis dan memilukan. Tidak kurang juga mereka yang merasakan penghakiman ini tidak memenuhi standard keadilan diimpikan kerana tertuduh terlepas daripada hukuman mati mandatori yang disabitkan ke atas pesalah bagi kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ada dalam kalangan masyarakat masih marah dan berdendam dengan nasib yang menimpa Zulfarhan. Malah merasakan hutang nyawa haruslah dibayar dengan nyawa.
Sehinggakan ada mengatakan hakim yang menjatuhkan hukuman itu terlalu berlembut dengan kesemua tertuduh.
Sungguhpun saya amat menyesali nasib yang menimpa Allahyarham Zulfarhan dan perit kehilangan yang ditanggung keluarganya, namun tuduhan kononnya wujud ketidakadilan dalam menghukum tertuduh di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan berbanding Seksyen 302 adalah amat dangkal.
Hakim, pendakwa raya, peguam bela, tertuduh malah setiap kita terikat kepada keluhuran undang-undang yang ada. Sistem undang-undang telah dibina berdekad lama bagi menyediakan keadilan bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga mereka yang menyalahi hak mangsa.
Atas sebab itu, dalam membincangkan sama ada wajar atau berpatutan sebarang hukuman diperintahkan mahkamah, haruslah kita amati juga hikmah di sebalik hukuman yang ditetapkan undang-undang.
KORUPSI
Dalam rangka perundangan, pertama-tama hukuman diniatkan sebagai pencegahan (deterrence) ke atas pelaku dan juga masyarakat sekeliling. Sebagai contoh, hukuman mati ke atas perasuah yang ditetapkan di negara seperti China dan Korea Utara bagi memastikan perasuah dicegah daripada kembali terlibat dengan korupsi. Pada masa sama, hukuman mati ke atas perasuah yang disabitkan juga dimaklumkan kepada masyarakat supaya wujud rasa gentar dalam kalangan rakyat daripada cuba melakukan rasuah.
Hukuman juga bertujuan sebagai menghilangkan keupayaan (incapacitation) pelaku daripada mengulangi kesalahan sama. Sebagai contoh, di beberapa negara seperti Indonesia dan Ukraine yang mewujudkan hukuman pengasian kimia ke atas pesalah pedofil yang disabitkan dengan kesalahan merogol kanak-kanak bawah umur. Jelas, hukuman digunakan bagi memastikan pelaku tidak mampu untuk mengulangi perbuatan jeliknya pada masa depan.
Selain itu, objektif hukuman juga adalah sebagai suatu bentuk pemulihan (rehabilitation) ke atas pelaku. Pemulihan menghalang jenayah dilakukan pada masa hadapan dengan mengubah tingkah laku pesalah. Contoh pemulihan termasuk program pendidikan dan vokasional, penempatan di pusat rawatan dan kaunseling.
Aspek ini ketara dalam kes-kes melibatkan pesalah muda yang didapati melakukan kesalahan ketika di bawah umur dan ditempatkan di sekolah-sekolah khas bagi memulihkan akhlak pesalah, contohnya di Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Tunas Bakti. Tujuan hukuman juga adalah sebagai suatu bentuk pengembalian hak (restitution) dengan menghukum pesalah dari segi kewangan.
Restitusi adalah apabila mahkamah memerintahkan pesalah membayar denda dalam kes seperti di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang sering digunakan apabila ada perbuatan khianat yang menyebabkan kerugian bernilai melebihi RM25. Peruntukan ini digunakan mahkamah untuk menyandarkan hukuman denda tinggi yang dikenakan ke atas penconteng grafiti yang merosakkan dinding binaan di tempat awam.
Hikmah hukuman juga adalah sebagai pembalasan (retribution) bagi mematikan keinginan untuk membalas dendam terhadap pelaku. Apabila mangsa atau keluarga mangsa atau masyarakat umum melihat pelaku telah dihukum secukupnya di atas jenayah yang dilakukannya, mereka akan berasa lebih yakin bahawa sistem perundangan berfungsi dengan berkesan dan tiada lagi keperluan untuk melakukan tindakan lanjut bagi membalas dendam di atas kelakuan pelaku kepada mangsa.
Inilah hikmah yang digunakan hakim dalam kes melibatkan Zulfarhan, mengambil kira tempoh pemenjaraan yang lama ke atas pesalah bukan sahaja bagi memastikan mereka dicegah daripada mengulangi perbuatan mereka tetapi juga memampas hak keluarga mangsa daripada menuntut pembalasan dendam peribadi ke atas pelaku.
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang & Hak Asasi Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (Wafiq); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).











