BEIJING: Ketua Pegawai Kewangan (CFO) ByteDance Ltd., Shou Zi Chew akan meletakkan jawatannya bagi menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok.
Menurut memorandum dalaman yang dikongsikan kepada Reuters, langkah tersebut diambil sebagai sebahagian daripada usaha pengorganisasian semula syarikat teknologi itu.
ByteDance dilaporkan membatalkan hasratnya untuk penyenaraian awam pada April dan berkata mereka tiada rancangan dalam masa terdekat untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO).
Sebelum ini, syarikat itu merancang untuk disenaraikan di Hong Kong atau New York.
Zi Chew menyertai ByteDance sebagai CFO pada Mac lalu dan dilantik sebagai CEO TikTok pada Mei.
Dalam memorandum tersebut, Ketua Eksekutifnya, Liang Rubo berkata, syarikat induk TikTok itu akan diorganisasikan semula untuk mewujudkan enam unit perniagaan.
Enam unit itu merupakan TikTok, Douyin, unit kerjasama kerja Lark, unit perkhidmatan perniagaan BytePlus, unit permainan Nuverse dan unit teknologi pendidikan Dali.
Douyin merupakan versi China untuk TikTok.
Sementara itu, ByteDance dilaporkan melaksanakan peraturan baharu pada Isnin lalu yang melarang pekerja daripada bekerja selepas pukul 7 malam dan menetapkan pekerja perlu meminta kebenaran untuk bekerja lebih daripada masa tersebut.
Peraturan itu dilaksanakan untuk tidak menggalakkan pekerja bekerja lebih masa, menjadikannya sebagai syarikat teknologi utama China yang pertama melaksanakan peraturan yang bertentangan dengan budaya kerja industri yang dikenali sebagai “996”.
Budaya 996 merujuk kepada jangkaan pekerja untuk bekerja dari 9 pagi hingga 9 malam, enam hari seminggu.
Polisi baharu tersebut menetapkan pekerja hanya perlu bekerja dari 10 pagi hingga 7 malam selama lima hari seminggu, kini digelar sebagai 1075 oleh pengguna internet di Weibo.
Budaya kerja 996 telah diisytiharkan haram oleh mahkamah tertinggi China berikutan beberapa insiden kematian pekerja di negara itu walaupun disokong beberapa tokoh usahawan seperti Jack Ma yang menyifatkannya sebagai sebuah “rahmat besar”. – AGENSI









