KUALA LUMPUR: UMNO berhasrat untuk mengelakkan pertembungan sesama parti dalam kerajaan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, justeru Majlis Tertinggi UMNO memberikan mandat kepada beliau berunding dengan parti dalam kerajaan untuk elak pertembungan sehingga boleh menyaksikan tiga penjuru.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO kemudian menjelaskan rundingan itu masih berlangsung.
Kata beliau, pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka hanya akan merugikan mana-mana parti dalam kerajaan.
“Seperti kita tahu ada tiga parti di Semenanjung ini yang menyokong kerajaan, jadi kita berusaha untuk mengelakkan pertembungan antara parti-parti dalam kerajaan.
“Jika berlaku pertembungan tiga penjuru, ada pihak lain yang mendapat faedah dan memang mereka tunggu sahaja supaya parti dalam kerajaan ini bertembung antara satu sama lain.
“Kalau bertembung, mereka yang untung. Bak kata pepatah, antan lesung berlaga sesama sendiri, beras tertumpah, ayam yang kenyang. Kita sedang mengadakan rundingan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 di sini hari ini.
Pada Khamis lalu, UMNO memutuskan kerjasama dengan Pas akan diteruskan untuk menghadapi PRN Melaka sejajar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.
Sebelum itu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada kerjasama antara parti berkenaan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya berkenaan.










