Gaji buruh asing lebih tinggi - Utusan Malaysia

Gaji buruh asing lebih tinggi

ISU pekerja ladang kelapa sawit memerlukan pelan yang komprehensif bagi menarik minat generasi baharu Felda sekali gus mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Generasi muda Felda ramai berminat menjadi penuai sawit namun tercabar apabila taraf dan gaji mereka sama atau lebih rendah berbanding buruh asing.

Justeru, pelan komprehensif tenaga buruh generasi Felda yang lebih menarik perlu diwujudkan bagi melahirkan penuai sawit di 317 tanah rancangan dan ladang Felda seluruh negara.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, isu kekurangan buruh ladang sawit di seluruh rancangan Felda telah berlanjutan puluhan tahun tanpa penyelesaian konkrit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Generasi muda Felda ramai berminat menjadi penuai sawit tetapi rata-rata tercabar apabila taraf dan gaji mereka sama atau lebih rendah berbanding buruh asing Indonesia dan Bangladesh.

“Sebagai tarikan, kerajaan perlu memuktamadkan faedah yang diperolehi buruh tempatan sama seperti kakitangan kerajaan mendapat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, sokso, elaun perumahan dan kemudahan kesihatan.

“Dalam jangka panjang tenaga buruh tempatan memberi banyak keuntungan kepada negara berbanding ratusan juta ringgit mengalir ke luar negara,” katanya di sini semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan permintaan ketua-ketua peneroka di tanah rancangan Felda di negeri ini yang meminta kerajaan segera membawa masuk buruh asing ke sektor perladangan bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh penuai buah sawit di tanah rancangan Felda seluruh negara.

Ia merupakan keperluan mendesak di 317 tanah rancangan Felda yang ketika ini memerlukan kira-kira 17,000 tenaga buruh asing untuk menguruskan ladang termasuk milik FGV Holdings Bhd (FGV).

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, secara keseluruhan­nya, kira-kira 30,000 tenaga bu­ruh diperlukan sebagai penuai sawit di tanah rancangan dan ladang Felda di seluruh negara.

Beliau berkata, kekurangan 17,000 tenaga buruh asing di ladang Felda ketika ini disebabkan mereka pulang ke negara asal sebelum pandemik Covid-19.

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan tanpa sedar telah mendidik dan melatih buruh asing mahir dalam sektor perladangan sawit yang seterusnya menjadi pesaing utama Malaysia seperti Indonesia.

Oleh itu tegasnya, pelan tindakan buruh tempatan diperlukan sekarang bagi mengelakkan kebergantungan berterusan kepada tenaga buruh asing.

Berhubung kekurangan buruh asing di ladang sawit, beliau menyarankan kerajaan memanfaatkan pendatang asing yang berada di depot tahanan diambil pekerja di ladang sawit seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini