Jika bukan kerana majlis perkahwinan orang kenamaan dan selebriti serba mewah yang diuruskan jadi buah mulut dan perhatian ramai pasti Rozana Mumtaz Mohd. Ashraff kurang dikenali seperti sekarang.
Kini sebut sahajalah nama Reka Teemor pasti ramai akan terbayangkan kemeriahan majlis perkahwinan serba mewah.
Ia sentuhan dekorasi yang menghiasi majlis tersebut hasil gabungan Rozana Mumtaz dan suaminya, Norfaiz Mohd. Sabari.
Majlis perkahwinan selebriti Neelofa dengan PU Riz pada Mac 2021 adalah antara contoh hasil sentuhan mereka. Betapa terpegunnya rakyat Malaysia apabila melihat majlis penuh gilang-gemilang itu.

Untuk pengetahuan ramai, wanita berusia 44 tahun yang selesa dengan sapaan Mumtaz ini adalah salah seorang peneraju utama di sebalik syarikat Reka Teemor yang ditubuhkan pada 2006.
Suaminya, Norfaiz memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan merangkap Pengarah Kreatif. Manakala Mumtaz adalah Ketua Pegawai Operasi dan merangkap Perancang Majlis Perkahwinan.
Menurut wanita berdarah Pakistan ini, sebaik bergelar perancang majlis perkahwinan, sikap dan perwatakannya banyak berubah. Beliau mengakui ada perbezaan perwatakan dirinya dahulu berbanding sekarang.
“Dahulu saya pemalu dan tidak suka ke hadapan. Tetapi setelah menyedari dalam bidang kerja saya ini kalau saya masih lagi pemalu bagaimana saya mahu menjayakan majlis perkahwinan hebat terutama untuk pelanggan orang kenamaan (VIP) dan sebagainya.
“Perubahan lain yang berlaku pada diri adalah daripada tidak ada keyakinan diri saya berubah menjadi insan yang lebih berkeyakinan, penuh ketegasan dan berilmu,” katanya.

Sebagai perancang majlis perkahwinan, Mumtaz mengakui dirinya juga seorang yang bossy sehinggakan semua perkara yang hendak dibuat perlu dilakukan dengan sempurna.
“Saya dan suami mahu menjaga nama dan kualiti kerja yang dihasilkan oleh Reka Teemor sebab itu saya jadi bossy. Setiap perkara perlu dijaga dan tidak boleh dibuat main-main.
“Dan sebab itu juga tak ramai yang tahan sebab kami cerewet.
“Hanya orang tertentu dan berdedikasi tinggi boleh setia dengan kami. Kenapa kami begitu? Sebabnya pelanggan yang mendapatkan khidmat kami membayar harga mahal untuk memastikan majlis mereka berlangsung seperti yang diimpikan.
“Bagi menjaga kualiti itu jugalah menyebabkan saya cerewet. Tambahan pula apabila membuat majlis perkahwinan saya perlu menghadapi pelbagai watak dan karakter manusia. Oleh itu kami kena sesuaikan dengan semua perwatakan pelanggan,” jelasnya.
Cerewet tidak bermakna beliau dan suami boleh mendabik dada dengan kehebatan mereka dalam industri yang diceburi. Sebaliknya sesiapa sahaja yang mahu menjadi perancang majlis perkahwinan boleh juga berjaya seperti mereka.
“Sesiapa sahaja kalau pandai boleh buat tetapi kena berusaha kuat. Saya dan suami masih tidak rasa puas dalam apa yang dibuat. Kami anggap pesaing kami adalah diri kami sendiri.
“Kami sedar hendak mengekalkan tahap bagus itu agak susah. Diri tidak boleh langsung jadi pemalas dan tidak boleh rasa hebat. Sebab itu jugalah kami sanggup berhabisan dalam memastikan apa yang diminta pelanggan itu direalisasikan,” katanya.
Berhenti kerja tolong suami
Sejak lebih 15 tahun lalu, Mumtaz dan suaminya merealisasikan impian pengantin baru yang mahukan majlis perkahwinan seindah hari penuh istimewa dalam hidup mereka.
Boleh dikatakan Mumtaz dan suami kini ibarat ‘otai’ dalam bisnes perancangan dan rekaan dekorasi hiasan dalaman majlis perkahwinan.
“Apa yang boleh saya kata, kami seperti dijodohkan untuk saling bantu-membantu dan saling melengkapi antara satu sama lain.
“Suami saya seorang pereka hiasan dalaman. Sebelum ini dia bekerja dalam pengiklanan dan hiasan dalaman. Saya pula pernah bekerja sebagai perancang majlis. Saya juga pernah bekerja di sebuah universiti tempatan.
“Kesibukan kerja menyebabkan kami jarang berjumpa dan tidak dapat menghabiskan masa bersama. Apabila saya hamil, saya rasa kami tidak boleh begini selamanya. Salah seorang perlu mengorbankan kerjaya untuk memastikan kami ada masa bersama.
“Saya ambil keputusan berhenti kerja dan menolong suami dalam bisnes hiasan dalaman dan grafik yang diusahakannya. Tetapi apabila saya pergi ke tempat kerja, saya rasa seperti tidak tahu apa yang perlu saya buat untuk menolong suami.
“Apabila saya lihat suami mula buat hiasan dalaman untuk majlis perkahwinan, terus saya terfikir idea untuk membantunya dengan menggunakan kemahiran saya sebagai perancang majlis. Dari situlah bermulanya Reka Teemor,” katanya.
Ujar Mumtaz, bekerja dengan suami dalam satu syarikat memberi cabaran pada mulanya. Sebabnya pada masa itu mereka tidak tahu apa peranan masing-masing.
“Sangat mencabar. Kadang-kadang ada juga bergaduh sebab tidak sependapat. Tetapi lama-kelamaan kami sudah mula faham apa peranan masing-masing. Saya jaga bahagian saya dan dia jaga bahagian dia. Paling penting kami jangan kacau kerja orang lain,” tegasnya.

Jaga penampilan tetap keutamaan
Berurusan dengan orang kenamaan dan selebriti terkenal menjadikan Mumtaz sentiasa menjaga penampilannya.
“Pembawaan dan penampilan perlu serta sentiasa terjaga. Saya akan pastikan apa yang saya pakai itu perlu sesuai dengan kerja yang saya buat dan orang yang saya temui. Pada pendapat saya sebelum yakinkan orang lain kita perlu terlebih dahulu yakin dengan penampilan sendiri.
“Penampilan terjaga dan keyakinan diri ni adalah penting agar apabila saya bercakap orang yang melihat itu sedar bahawa saya serius dengan kerja saya.
“Dalam menjalankan urusan perniagaan kita kena pandai bawa diri. Dari segi penampilan, tidak perlu menggayakan pakaian mahal. Hanya pilih pakaian yang menunjukkan kita serius dengan apa yang kita lakukan,” katanya.
Nasihatnya, sebagai pilihan selamat dalam berpakaian, anda boleh memilih pakaian berwarna hitam sebagai pilihan.
“Warna hitam boleh buat kita nampak kurus,” katanya.
Cabaran jadi perancang majlis perkahwinan
Kejayaan yang dimiliki tidak dimiliki dengan begitu mudah. Bergelar perancang majlis perkahwinan cabarannya. Buat anda yang ingin menceburi kerjaya perancang majlis perkahwinan, nasihat Mumtaz ini perlu dijadikan panduan.
“Jadi perancang majlis perkahwinan ini kita bekerja pada waktu orang lain cuti. Sabtu dan Ahad adalah masa kita bekerja. Itu pengorbanan yang bukan semua boleh buat demi menjayakan majlis orang lain.
“Bagi mereka yang berkahwin dan mempunyai anak, masa dengan keluarga juga tidak banyak.
“Sebagai perancang majlis, kita perlu melaksanakan realisasi dan impian seseorang itu susah. Kita tidak tahu apa yang orang suka dan tidak. Boleh jadi tidak tidur malam dibuatnya memikirkan apa yang kita buat itu orang suka atau tidak,” katanya.
Mumtaz memberitahu, antara cabaran lain yang perlu dihadapi oleh perancang majlis perkahwinan adalah mencipta sesuatu yang hebat atau baru tetapi memerlukan kos yang tidak banyak.
“Begitu juga kita perlu tahu bagaimana hendak puaskan hati ayah, emak dan pengantin yang berbeza pendapat. Sepanjang melibatkan diri sebagai perancang majlis perkahwinan, apa yang boleh saya kata hanya bertahun-tahun pengalaman saya boleh semua cabaran ini mampu diatasi,” tambahnya.

Melancong belajar mengenai perkhidmatan
Melancong ke luar negara adalah hobi Mumtaz. Melalui melancong beliau dapat belajar mengenai mengenai perkhidmatan yang diberikan di tempat yang dilawati. Belajar mengenai perkhidmatan juga penting buat seorang perancang majlis.
“Sewaktu melancong saya suka pergi ke hotel yang dikatakan hebat dari segi perkhidmatan yang diberikan. Saya pilih hotel sebegitu sebab saya mahu belajar apa yang membuatkan hotel tersebut dikatakan hebat.
“Kemudian setelah balik dari melancong saya boleh jadi sumber atau rujukan kawan-kawan atau pelanggan. Pengalaman yang saya ada itu saya selalu kongsikan bersama mereka,” katanya.
Namun hobi kesukaannya ini tidak dapat dipenuhi semenjak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
“Memang kecewa sudah dua tahun tidak dapat melancong. Disebabkan tidak dapat melancong saya gunakan masa yang ada itu untuk bersama-sama dengan keluarga. Saya gunakan masa yang ada untuk menghantar anak belajar tuisyen atau mengikuti kelas dalam talian.
“Saya juga dapat menjaga abang yang sakit di hospital. Saya rapat dengannya. Tetapi dia telah meninggal dunia akibat penyakit yang dihidapi.
“Masa yang ada ini juga saya gunakan untuk memberi perhatian kepada emak dan ayah yang kehilangan satu-satunya anak lelaki mereka,” ujarnya.
Menurut anak kedua dari lima beradik ini lagi di sebalik kesedihan yang dialami, hubungan beliau dan ahli keluarganya semakin bertambah erat.
Biodata:
Nama: Rozana Mumtaz Mohd. Ashraff
Umur : 44 tahun
Asal : Kuala Lumpur
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Psikologi, UIAM
Nama suami: Norfaiz Mohd. Sabari
Umur: 50 Tahun
Nama anak: Dhiya Batrisya Norfaiz
Umur: 15 Tahun
Hobi: Melancong
Falsafah hidup: “Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati esoknya.”









