Kasi `gegau' DUN Melaka - Utusan Malaysia

Kasi `gegau’ DUN Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kira-kira sebulan lagi penduduk Melaka akan memilih wakil rakyat baharu dan parti yang menang akan membentuk kerajaan negeri yang kedua bagi negeri itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

Pilihan raya negeri (PRN) pada 20 November ini adalah jalan terbaik selepas dua kerajaan negeri yang dibentuk sejak 2018 gagal memiliki majoriti meyakinkan selain gabungan parti-parti sama ada di bawah Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) yang rapuh.

Kerajaan negeri di bawah PN tumbang pada 4 Oktober lalu, hanya kerana dakwaan tidak boleh wujudnya dua ekor singa di atas sebuah gunung ekoran sengketa dalaman UMNO khususnya melibatkan rasa tidak puas hati bekas Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kemelut dalaman UMNO itu kelihatannya sukar diselesaikan di meja rundingan. Malah hubungan UMNO dengan rakan strategik dalam PH juga agak tegang selain memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang juga seperti berkisar hubungan politik di peringkat pusat

Maka itu eloklah PRN diadakan supaya segala kemelut yang ada dapat diselesaikan segera dan kembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu.

Ada yang melihat PRN Melaka akan menjadi medan untuk menguji kekuatan parti-parti politik secara solo dan juga aliran pengundi terhadap sokongan dalam PiRU15 nanti. Apapun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, rakyat Melaka sudah pastinya sudah matang untuk menilai yang mana satu intan, yang mana satu kaca.

Kini terpulang kepada 495,196 rakyat Melaka yang merupakan pengundi berdaftar untuk membuat keputusan.

Kalau dulu ada wakil rakyat yang sukar ditemui, sombong dan memberi pelbagai alasan jika dirujukkan masalah kepada mereka, menyerahkan bulat-bulat tugas membantu rakyat kepada wakil di Japerun, tok sidang dan JKKK kerana kononnya mereka sibuk dengan soal dasar di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lebih suka beretorik, inilah masanya pengundi tunjukkan jalan keluar daripada politik kepada mereka.

Jika orang Melaka sudah bosan dengan Dak Idris, Rauf, Adly dan Sulaiman atau wakil rakyat pembangkang yang tidak mencapai tahap diharapkan, kini pengundi diberi peluang kedua untuk `gegau’ pemimpin politik dan membuat pilihan mengikut selera mereka. – UTUSAN ONLINE