PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka tidak berdepan masalah besar memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), menjelang desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, yang menjadi persoalan kini ialah sama ada GPS mampu merampas kerusi-kerusi di kawasan bandar yang dikuasai pembangkang.
Beliau menyifatkan perwatakan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg yang disenangi rakyat Sarawak mampu membawa perubahan.
Namun, Awang Azman menjangkakan kadar peratusan keluar mengundi menurun pada PRN kali ini berikutan wabak Covid-19 yang masih tinggi di negeri itu.
“Kebimbangan ini perlu dikenal pasti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk galakkan rakyat keluar mengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir juga yakin GPS akan kekal memerintah Sarawak dengan majoriti dua pertiga, tetapi Pakatan Harapan (PH) akan terus menguasai kawasan bandar.
“GPS telah memperkenalkan pelbagai pakej bantuan, lebih 100 inisiatif kepada rakyat, menyediakan peruntukan besar berbilion setiap tahun serta komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sudah tentu rakyat akan menyokong dan saya yakin GPS akan kekal dengan majoriti dua pertiga dalam DUN Sarawak.
“Bagi pembangkang, PSB dan PH akan terus kuasai kawasan bandar, tetapi parti pembangkang lain tidak ada peluang untuk menang PRN kali ini,” kata beliau.
GPS ketika menjadi sebahagian Barisan Nasional (BN) memenangi 72 kerusi pada PRN Sarawak 2016, sekali gus meraih majoriti dua pertiga berbanding PH yang hanya meraih 10 kerusi.
GPS kemudian ditubuhkan pada Jun 2018 selepas BN tewas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu di Kuching, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua parti di Sarawak sudah bersiap sedia untuk PRN Ke-12 (PRN12) itu.
Tambahnya, kerajaan Sarawak kini berada dalam masa yang dipinjamkan susulan proklamasi darurat.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Snowdan Lawan menegaskan, jentera partinya juga sudah lama bersedia untuk PRN12 dan tidak gentar untuk berdepan dengan sesiapa sahaja.
Ditanya sekiranya wajar PRN12 diadakan dalam tempoh pandemik ini, beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum hari mengundi.
Tempoh penggal DUN Sarawak berakhir pada 6 Jun lalu namun pembubaran ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari tahun depan. -UTUSAN











