Tujuh negeri tidak perakui Akta Pengurusan Sisa Pepajal - Utusan Malaysia

Tujuh negeri tidak perakui Akta Pengurusan Sisa Pepajal

ANGGOTA penguat kuasa JAS Selangor memantau lokasi pembakaran terbuka di sebuah tapak pelupusan sampah haram berhampiran Kampung Johan Setia di Klang, Selangor baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendirian tujuh negeri yang tidak memperakui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 antara punca tapak pelupusan haram terus wujud sehingga menyebabkan kes pencemaran alam sekitar terus berlaku.

Negeri-negeri tersebut ialah Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Keengganan mereka menandatangani Akta 672 menyebabkan aktiviti penguatkuasaan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas tapak pelupusan sampah haram tidak efektif.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, lambakan tapak pelupusan sampah haram bukan sahaja tidak akan selesai malah ia lebih parah terutama di negeri maju seperti di Selangor yang enggan mengiktiraf Akta 672.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zain Hassan

“Selangor tidak tertakluk di bawah Akta 672 dan juga bukan negeri di bawah pengurusan SWCorp, sekali gus keadaan itu mungkin antara faktor wujud banyak tapak sisa sedemikian di negeri tersebut,” katanya.

Kelmarin, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan insiden pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di Johan Setia, Klang antara punca bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor naik mendadak.

Tindakan dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu dikesan menerusi dron JAS dan pencemaran itu bertambah buruk disebabkan cuaca panas terik kebelakangan ini.

Menurut beliau, Perlis, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta tiga Wilayah Persekutuan yang meratifikasi Akta 672 telah dikawal selia Perbadanan Pe­ngurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sejak 2008.

“Berdasarkan laporan semasa, negeri-negeri yang dipantau oleh Alam Flora dan SWCorp semakin kurang tapak pelupusan haram kerana tahap penguatkuasaan amat ketat sehingga pelaku boleh didenda lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Mohd. Zain.

Alam Flora adalah syarikat pengurusan sampah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang, manakala SWCorp ialah agensi penguatkuasaan pengurusan sisa pepejal di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mohd. Zain memberi contoh ada beberapa kes pemilik premis komersial di ibu kota yang sengaja melonggokkan sisa sampah, akan terus disita SWCorp selain pelakunya didakwa di mahkamah tanpa kompromi.

“Kami akan membersihkan sisa sampah setelah serbuan dibuat oleh SWCorp,” kata beliau.
Bagaimanapun, kata beliau, tujuh negeri yang bukan di bawah seliaan SWCorp tidak terikat dengan Akta 672 dan masalah tersebut hanya diurus PBT tetapi kurang tegas.

Justeru, beliau juga tidak menolak kemungkinan tapak pelupusan sisa haram di Selangor dibawa dari Kuala Lumpur kerana pelaku jenayah pencemaran takut dicekup SWCorp.

“Keadaan berbeza di negeri dikawal selia SWCorp apabila semua PBT aktif walaupun pada waktu malam masih ada rondaan pemantauan secara berterusan,” tegas beliau.

Ketika ini terdapat 147 tapak pelupusan sisa pepejal yang sah beroperasi di seluruh negara dengan 14 buah daripadanya jenis sanitasi yang ada larutan resap tanah.

Setiap hari, penduduk negara ini termasuk warga ­asing menghasilkan kira-kira 37,000 tan sisa atau sekurang-kurangnya secara purata 1.17 bagi setiap individu.

Di bawah Akta 672, individu jika disabitkan kesalahan buang sampah walaupun kecil boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Penduduk di negeri-­negeri kendalian SWCorp juga boleh melaporkan aktiviti jenayah itu dengan menghubungi talian khas 1-800-88-7472 atau e-mel [email protected] untuk diambil tindakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN