PETALING JAYA: Haily Group Berhad (Haily) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn. Bhd. telah menerima surat anugerah daripada Meridin East Sdn. Bhd. (Meridin East) bagi membangunkan projek kediaman teres di Plentong, Johor Bahru bernilai RM24.5 juta.
Menurut Haily, kontrak itu adalah berharga tetap dan menjangkakan projek berkenaan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sepanjang ia berjalan.
Jelasnya, keseluruhan projek mengandungi 155 unit rumah teres dua tingkat, sebuah unit ruang tunggal sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB), dua unit dua ruang sub stesen TNB dan satu unit stesen suis utama.
“Walaupun tiada sebarang tarikh permulaan ditetapkan, sementara menunggu arahan dari
arkitek, projek ini dijadualkan siap dalam masa 15 bulan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, kemampuan syarikat secara konsisten memenangi kontrak baharu membuktikan keupayaan dan kewibawaan menyiapkan kerja pembinaan berkualiti dan penyampaian projek.
Katanya, walaupun tahun lepas amat mencabar untuk industri pembinaan, namun Haily yakin dengan pertumbuhannya pada masa hadapan.
“Projek dalam tangan ketika ini cukup untuk membuatkan kami sibuk bagi beberapa tahun akan datang, tetapi kami akan terus maju ke depan dengan strategi untuk berkembang dan menguasai trend perkembangan di dalam sektor kediaman dan bukan kediaman di daerah lain di Johor,” katanya.
Menurut Haily, sehingga hari ini, syarikat memiliki 19 projek pembinaan bangunan yang sedang berjalan, begitu juga dua projek kejuruteraan awam berkaitan projek pembinaan.
“Jumlah nilai kontrak yang diperolehi bagi projek-projek ini dianggarkan RM477.74 juta,” katanya.
Haily telah membuat penampilan di dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 21 Julai lalu.
Syarikat secara prinsipal merupakan kontraktor utama yang terlibat di dalam pembinaan kediaman dan bangunan bukan kediaman di wilayah Selatan khususnya di Johor.
Malah, syarikat juga terlibat dalam menyediakan perkhidmatan penyewaan mesin-mesin pembinaan. – UTUSAN











