SPR putuskan tarikh PRN Melaka Isnin ini - Utusan Malaysia

SPR putuskan tarikh PRN Melaka Isnin ini

ABDUL GHANI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Isnin ini sekali gus memberi bayangan rakyat negeri itu akan mengundi sekali lagi bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, persediaan SPR tersebut sebagai langkah ke arah pelaksanaan PRN itu, melainkan kerajaan mengisytiharkan darurat yang menuntut penangguhan pelaksanaannya.

“Ya, betul (PRN Melaka diteruskan), melainkan kerajaan isytihar darurat,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan, mesyuarat berkenaan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Melaka yang akan dipengerusikan oleh Abdul Ghani.

Perbincangan akan melibatkan perkara-perkara seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut yang akan diadakan di Double Tree by Hilton Hotel, Melaka pada pukul 10 pagi,” katanya dalam kenyataan semalam.

PRN Melaka hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN penggal Ke-14 pada 4 Oktober lalu berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika kerajaan tidak mengisytiharkan darurat bagi membolehkan PRN Melaka ditangguhkan, maka kuasa berbalik kepada SPR untuk menjalankan PRN dalam tempoh 60 hari.

“Minggu lalu difahamkan Perdana Menteri memanjangkan perkara ini kepada pihak Istana Negara, jika wajar atau perlu proklamasi darurat diadakan bagi membolehkan PRN ditangguh. Tentunya Istana memanggil pihak-pihak agensi berkaitan iaitu polis, SPR, Kementerian Kesihatan dan lain-lain untuk nasihat mengenainya.

“Jika kerajaan tidak mengisytiharkan darurat, kuasa berbalik kepada SPR untuk menjalankan PRN dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN Melaka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×