Kesetiaan isteri di sisi Amaris - Utusan Malaysia

Kesetiaan isteri di sisi Amaris

HASIL perkongsian hidup Amaris dan Syazwani dikurniakan seorang cahaya mata, Putra Asytar yang kini berusia tiga tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REZEKI pelakon Putra Amaris dalam bidang lakonan masih konsisten. Dalam masa sama dia juga aktif dalam misi berkongsi rezeki menerusi perniagaan tart telur dan sate daging goreng.

Begitu pun, itu tidak bermakna pelakon drama Andainya Takdir 2 ini akan ‘berehat selamanya’ daripada bidang seni lakonan. Cukup baginya kerjaya pelakon dan bisnes selari.

Di bawah jenama Amaris My Tart yang kini sudah memasuki tahun ketiga, kongsi pelakon ini, dia tidak menafikan ketika di awal pembabitan dalam perniagaan dia diuji dengan tawaran lakonan sebagai pelakon utama.

“Saya bersyukur kerana Allah menggerakkan hati untuk buat bisnes. Daripada bisnes ini juga saya dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang mahu berniaga secara kecil-kecilan, Alhamdulillah.

“Kalau diimbas, masa awal-awal dalam bisnes, saya banyak ditawarkan watak utama. Tetapi saya terpaksa tolak dengan baik dan dengan izin Allah semuanya dipermudahkan.

“Jadi rezeki tawaran itu kiranya saya berikan kepada pelakon yang lebih layak. Seronok dan suka rasanya bila tengok mereka dapat melakonkan watak itu,” jelasnya.

Perbetulkan Niat
Mendalami bidang baharu, Amaris yakin dalam apa jua bidang diceburi mestilah perbetulkan niat dalam usaha untuk membantu diri sendiri, famili dan yang memerlukan.

Jelasnya, dalam berniaga dan niat mahu berkongsi rezeki, Allah akan sentiasa tolong dan hadirkan peluang yang tidak disangka-sangka.

“Selain itu, pelan bisnes juga sangat penting kena rancang sebaik-baiknya. Andai dalam proses seperti ada yang tidak kena jangan main redah kerana akan ada implikasinya.

“Walau bagaimanapun, kita hanya merancang dan Dia menentukan. Kalau sudah rezeki, jangan khuatir.

“Saya juga mohon tunjuk ajar bagaimana untuk kongsi rezeki jika ada sesiapa yang mahu boleh hubungi saya,” tuturnya.

Pernah menangis
Menyelami episod usaha murni fasal kongsi rezeki, insan yang paling tepat ditanya pastinya seorang isteri, Nur Syazwani Alias.

Dia yang sentiasa ada, menyaksikan ketekunan sang suami.

“Tipulah kalau saya tidak pernah menitiskan air mata. Setiap apa yang kita buat, benda baik mesti banyak sangat ujian. Tapi kepuasan bila dapat bantu Subhanallah, tidak tergambar,” katanya.

Kongis sang isteri, dalam beberapa insiden sebelum ini, pernah usaha mereka untuk membangunkan infaq menjadi pertikaian.

“Netizen dan orang sekeliling mempertikaikan usaha kami kerana kami bukan orang yang berpengaruh dan tepat untuk menjalankan aktiviti seumpama itu.

“Namun suami saya seorang yang kuat. Contohnya pada permulaan infaq. Dalam serba kekurangan, kami anjurkan sendiri. Amar tidak tidur dan duduk di ofis sampai lewat malam,” kata Syazwani.

Sebagai informasi, syarikat Amaris merupakan landasan yang menguruskan urusan infaq dan disampaikan terus kepada penerima atau pihak berkenaan digalakkan untuk turut serta.

Tidak tolak rezeki tambah cahaya mata
Menyentuh soal rezeki, pasangan Amaris dan Syazwani tidak menolak rezeki cahaya mata.

Hasil perkongsian hidup empat tahun mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Putra Asytar yang kini berusia tiga tahun.

Pun begitu, bagi Amaris dia risau dengan keadaan pandemik Covid-19 yang berkemungkinan mampu menjangkiti golongan berisiko.

“Nanti dulu (tersenyum) insya-Allah tengok keadaan dulu, malahan ekonomi masih kerja keras lagi. Tetapi kalau Allah nak hadiahkan kami terima,” kata pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu.

Senada dengan suami, Syazwani turut berkongsi dengan perkembangan anaknya.

“Alhamdulillah sudah mula bercakap, aktif, pandai mengira dan menyebut ABC atau pun objek. Aystar ini dia banyak ikut perangai bapa dia.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sibuk dengan bisnes dan balik lewat malam. Sejak PKP secara tidak langsung banyak waktu diluangkan dengannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×