Perosak rundingan MN harus dicela - Utusan Malaysia

Perosak rundingan MN harus dicela

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semua pihak yang membentuk Muafakat Nasional (MN) diseru  istiqamah dalam melakukan rundingan berulang kali tanpa had bagi memastikan perpaduan yang dipupuk dapat dipertahankan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rundingan boleh diibaratkan nyawa kepada MN dan kegagalan dalam aspek itu merupakan satu kejayaan bagi pihak musuh.

Malah tegas beliau, individu  yang merosakkan rundingan, dialah yang paling gagal dan harus dicela.

“Musuh perpaduan sentiasa wujud, mengintai dan menyelinap dari sudut dan lorong terabai. Kegagalan rundingan kerapnya adalah kerana perunding lemah karakter dan diplomasinya. Paling teruk, melihat menghentikan rundingan sebagai jalan terbaik.

“Ia kejayaan buat musuh. Matlamat dibakar dan keikhlasan membenih nifak. Begitulah nyawa Muafakat Nasional (MN). Siapa yang merosakkan rundingan, dialah yang paling gagal dan harus dicela,” katanya menerusi status terkini di akaun Facebooknya hari ini.

Masa depan MN terus menjadi tanya tanya apabila dua parti terbesar yang membentuknya iaitu Pas dan UMNO masih bersepakat mengenai kerjasama dengan pihak ketiga iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pihaknya berusaha memastikan piagam yang dimeterai pada 2019 itu tidak terlerai dan masih ada ruang untuk MN dipertahankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×