Aplikasi mencari jodoh, Joompa menyasarkan pengguna muslim yang benar-benar serius dalam menjalani sebuah perhubungan seterusnya memasuki gerbang perkahwinan.
Ketua Pegawai Eksekutif Joompa, Anisa Hassan berkata, terdapat lebih 50 juta bujang di Asia Tenggara dengan Malaysia mencatatkan sehingga 40 peratus bujang tetapi tiada waktu memikirkan soal mencari pasangan.

Majoriti penganut Islam juga tidak gemarkan cara berkenalan tidak serius dan terbuka seperti ditawarkan dalam kebanyakan aplikasi cari jodoh yang lain dan di situlah peranan Joompa.
“Kami menyediakan ukuran kesesuaian dalam mengukur tahap keserasian individu dengan bakal pasangan dicari supaya tidak ‘membuang masa’ kerana masing-masing mahukan hubungan yang serius.
“Lebih daripada itu kami mahukan individu mengenali dengan lebih mendalam terhadap kenalan baharu menerusi profilnya, bukannya sekadar menatap gambar-gambar yang dikongsi kenalan,” katanya.
Memenuhi matlamat itu, aspek keselamatan dan ketelusan tinggi diperlukan pada peringkat pendaftaran akaun dalam usaha menangani salah laku dan etika ketika berkenalan.
Lebih Ketat
“Peringkat pendaftaran kami ketat. Umpamanya individu perlu memiliki gambar dan profil yang betul. Sekiranya peringkat awal ini dilangkau, secara automatik ia akan dibuang daripada sistem data kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Joompa berasal dari bahasa Melayu, ‘jumpa’. Realitinya banyak aplikasi cari jodoh wujud di dunia ini, namun tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menjadikan laman jodoh selalu dianggap aplikasi sumbang.
Anisa, 48 yang juga Pengasas Joompa, berkhidmat dalam agensi mencari jodoh sejak 16 tahun lalu di Singapura. Sepanjang laluan kerjaya itu, beliau sudah mempertemukan lebih 1,000 pasangan dan beribu lagi pasangan yang sedang komited dalam perhubungan.
Katanya, walaupun aplikasi berlangsung secara maya, individu masih boleh berhubung dengan bahagian khidmat pelanggan, sekiranya terdapat maklumat mencurigakan daripada pihak ingin dikenali. Ada panggilan video disediakan bagi memastikan individu benar-benar telus dalam perhubungan.
Anisa berkata, dalam situasi pandemik Covid-19 ini, perhubungan melalui panggilan video adalah yang paling selamat.
“Ia bukan sahaja melindungi pengguna tetapi mendorong mereka mengamalkan penjarakan fizikal sambil membina perhubungan,” katanya yang turut menyasarkan mewujudkan sejuta perkahwinanan










