PRN Melaka dalam tempoh 60 hari - Utusan Malaysia

PRN Melaka dalam tempoh 60 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kira-kira 500,000 pe­ngundi berdaftar di negeri ini sekali lagi akan me­nentukan ke­rajaan baharu se­lepas Dewan Undangan Nege­ri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa kelmarin, sekali gus memberi laluan kepada pi­lihan raya negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun, perkara ter­se­but tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang boleh me­ma­syhurkan Proklamasi Darurat se­perti di Sarawak, ekoran kebimbangan terhadap Covid-19.
Pembubaran itu diumumkan oleh Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada sidang akhbar khas di Jabatan Ketua Menteri, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri berkata, permohonan pembubaran itu diperakukan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat ekoran empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik soko­ngan ke atas kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Empat ADUN tersebut ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Jelas Ab. Rauf, susulan itu, Sulaiman telah mengutus su­rat kepada Mohd. Ali untuk me­maklumkan perkara tersebut.
“Seterusnya, Ketua Menteri turut meminta perkenan Mohd. Ali untuk membubarkan DUN. Yang Dipertua Negeri telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN berkuat kuasa pada Isnin.

“Proklamasi pembubaran DUN telah diwartakan pada hari ini (Selasa) dan seterusnya PRN akan diadakan selepas ini.

“Mengenai PRN yang akan diadakan nanti, perkara tersebut diserahkan kepada SPR untuk menentukan tempoh masa dan tarikh yang sesuai diadakan,” katanya.

Turut hadir ketika pengumuman ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad dan Pengarah SPR negeri, Rudy Rohan Johan.

Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, selepas pembubaran tersebut, pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan seperti biasa diurus kerajaan caretaker sehingga pilihan raya diadakan.

Mengenai perjalanan PRN yang akan diadakan nanti, jelasnya, perkara tersebut membabitkan prosedur operasi standard (SOP) dan bakal diputuskan oleh SPR, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Pilihan Raya II BN, Datuk Hasnoor Sdg Husin berkata, semua jentera di peringkat Parlimen dan DUN telah diarahkan berada dalam kesiapsiagaan.

“Kita telah menghantar surat kepada semua jentera pilihan raya BN untuk membuat persiapan awal di semua peringkat.

“Semua jentera termasuk pusat daerah mengundi (PDM) telah diarahkan untuk membuat persiapan dengan kadar segera.

“Ini amat penting untuk kita memastikan calon-calon BN yang akan bertanding dalam PRN nanti menang dengan majoriti 2/3 untuk kita dapat semula memerintah negeri ini,” katanya ketika ditemui.

Berdasarkan, statistik Jabatan Perangkaan, bilangan penduduk di Melaka tidak sampai satu juta, iaitu sebanyak 932,700 orang direkodkan bagi 2020 dengan keluasan negeri 1,650 kilometerpersegi.

Jumlah pemilih berdaftar yang mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ialah seramai 494,662 orang, iaitu hampir separuh populasi negeri.

Bagaimanapun, angka berkenaan belum mengambil kira pe­milih berumur 18 tahun (Undi18) yang sudah didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), baru-baru ini.

Vaksinasi Covid-19 di Melaka setakat kemas kini pukul 11.15 pagi semalam, populasi dewasa yang sudah lengkap vaksinasi di negeri ini adalah sebanyak 88.2 peratus, manakala keseluruhan termasuk remaja 12 hingga 17 adalah 64.4 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman sebelum ini berkata, imunisasi kelompok dijangka dicapai selewat-lewatnya bulan ini berikutan pembukaan dua pusat pemberian vaksin (PPV) mega. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN