KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memberitahu, belum ada mana-mana pemimpin politik termasuk Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan di Melaka memohon menyertai gabungan itu.
Perkembangan itu berikutan Kerajaan Negeri Melaka dilaporkan bergolak rentetan enam ADUN kerajaan hasil gabungan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan wakil rakyat Bebas didakwa berpaling tadah dengan menyertai PH.

Mengesahkan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, penyertaan terbaharu hanyalah daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diterajui Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, pada 26 Ogos lalu.
“Tiada maklumat lanjut setakat ini siapa mahu menyertai PH. Setakat waktu ini, tiada siapa-siapa yang mahu masuk PH.
“Kalau tengok di peringkat Pusat dahulu macam pembangkang tidak menyokong mereka melompat parti. Kalau berlaku krisis pun ini adalah krisis dalaman di sebelah pihak kerajaan sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi semalam.
Didakwa, empat ADUN tersebut sudah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) manakala dua lagi belum dipastikan.
Jika terbukti sokongan itu memihak PH, Kerajaan Negeri Melaka diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (Lendu) tumbang dan memerlukan pembentukan kerajaan negeri baharu menyorot situasi yang berlaku di Perak sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PH, Howard Lee Chuan How pula berkata, PH tidak ‘berselera’ menerima penyertaan ADUN berkenaan atas dasar kepercayaan dan jaminan isu lompat-melompat tidak berlaku lagi.
“Yang saya tahu, akhirnya, PH tiada selera. Macam mana PH mahu terima, katakanlah orang sudah melompat parti dua kali, takkan mahu percaya dan terima keberadaan mereka lagi? Apa sekuritinya?,” katanya ketika dihubungi.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri Melaka dilihat stabil dan tidak mungkin tumbang ekoran spekulasi empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke PH.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, usaha empat ADUN tersebut untuk menyertai PH dilaporkan tidak mendapat persetujuan beberapa pemimpin DAP negeri itu.
“Jika keadaan ini berlaku, saya lihat tidak mungkin kerajaan negeri yang diterajui UMNO tumbang dalam masa terdekat kerana usaha mereka itu tidak mendapat sokongan.
“Tetapi setakat ini, boleh saya katakan kerajaan di bawah kepemimpinan Ketua Menteri dilihat masih berdiri teguh dan tidak tergugat.
“Jika sesuatu yang tidak dapat diramalkan berlaku, saya akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti dan kerajaan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan,” katanya.
Dalam pada itu, sumber memaklumkan, sekurang-kurangnya empat ADUN DAP menentang kerjasama berkenaan dalam satu perjumpaan yang diadakan di Lembah Klang.
ADUN Duyong (DAP), Damian Yeo Shen Li dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya berkata, beliau tidak menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) ketika perjumpaan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada isu pergolakan politik yang kini sedang melanda Melaka. – UTUSAN ONLINE











