ARAU: Pas meminta UMNO mengkaji semula keputusan menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan meletakkan semangat perpaduan sebagai keutamaan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin meminta UMNO mengingati dan merenung kembali kesukaran mewujudkan Muafakat Nasional (MN) yang mendapat sokongan penuh orang Melayu-Islam di negara ini.
Kata beliau, ketika usaha dilakukan bagi menjernihkan keadaan, masih terdapat suara-suara dalam UMNO yang terus mengambil sikap seolah-olah tidak mempedulikan perpaduan ummah.
Katanya, pendirian Pas jelas iaitu sentiasa fokus mengukuhkan perpaduan ummah khususnya membabitkan tiga parti antara Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Seterusnya, beliau berharap UMNO berfikir dan mengkaji semula keputusan yang dibuat itu memandangkan dalam suasana sekarang sangat memerlukan semangat perpaduan.
“Saya harap UMNO bertenang dan kaji balik siapa musuh sebenar dan siapa kawan. Jangan terus menolak penyatuan ini kerana hanya memberi kelebihan kepada musuh.
“Kita akan menghadapi kesukaran di dalam PRU-15 jika perpaduan ini ditolak. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru yang untung bukan Islam tetapi pihak lawan. PH (Pakatan Harapan) akan untung jika kita berpecah,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor mengulangi keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan Majlis Tertinggi (MT) tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 sambil menegaskan pendirian tersebut adalah muktamad.
Dalam masa sama, kata Ahmad Zahid, UMNO juga mengambil pendirian menolak pembentukan gabungan politik dengan PN dalam PRU-15 dan berdiri teguh untuk memperkasa Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Hashim berkata, kenyataan Ahmad Zahid untuk mempertahan semua kerusi yang dimenangi parti itu bukan perkara pokok, sebaliknya yang lebih penting apakah beliau bersetuju pertembungan satu lawan satu dalam PRU-15.
“Apabila bersetuju satu lawan satu, baru kita bincang mengenai itu (kerusi) iaitu UMNO bertanding di kawasan dimenangi mereka dalam PRU-14 dan Pas juga begitu. Selebihnya boleh bincang.
“Apa yang lebih penting adalah memastikan terlebih dahulu pertembungan satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang dapat direalisasikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











