PRU-15: Gerakan hasrat tanding 12 kerusi Parlimen - Utusan Malaysia

PRU-15: Gerakan hasrat tanding 12 kerusi Parlimen

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan mengekalkan hasrat bertanding di 12 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sasaran kawasan itu adalah sama seperti yang pernah dipertandingkan pada PRU14 lalu ketika masih berada di dalam gabungan Barisan Nasional (BN).

Kata beliau, pihaknya sudah menghantar senarai cadangan kawasan kepada peringkat tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk dipertimbang namun tidak jelas berkenaan jumlah sebenar kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan kali ini.

“Kawasan ini bergantung kepada jentera-jentera parti yang dirasakan sudah sedia dan mempunyai kekuatan di bahagian tersebut. Sebelum ini, Gerakan sudah turun padang menjalankan program-program bantuan di kawasan ini.

“Sebab itu Gerakan berhasrat bertanding di kawasan yang sama dan mencadangkan kepada Pusat. Tetapi, ini masih dalam perbincangan awal dan parti siapa yang bertanding diputuskan oleh yang berkuasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui PN bahawa gabungan itu bersepakat menyelesaikan pembahagian kerusi yang ditandingi di peringkat Parlimen dan DUN pada PRU-15.

Rundingan kerusi itu dijadualkan berlangsung minggu depan antara parti komponen PN lain dianggotai Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Untuk rekod, Gerakan pernah bertanding di kawasan Parlimen Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Taiping, Beruas, Teluk Intan, Puchong, Batu, Segambut dan Simpang Renggam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×