PETALING JAYA : Perdana Menteri atau mana-mana menteri yang tidak kompeten dan gagal menjalankan tugas dengan berkesan perlu disingkirkan daripada Kabinet dan beri laluan kepada individu lain yang boleh berkhidmat dengan lebih baik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, sesiapa pun yang tidak cekap atau terlibat dalam kegiatan bertentangan undang-undang bukan sahaja tidak layak menyertai Jemaah Kabinet malah berkhidmat kepada negara.
Kata beliau, seorang menteri tidak memerlukan tempoh tertentu seperti 100 hari kerana mereka seharusnya bekerja segera sebaik sahaja dilantik.
“Mengapa ada tempoh masa tiga bulan atau apa-apa jangka pun? Apabila dilantik, teruskan bekerja. Bukan hanya cari publisiti di media sosial atau kerja sambil lewa termasuk mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal atau mengelirukan.
“Sesiapa pun lembab, tidak cekap dan tercatit nama kerana terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang tidak betul, tidak mematuhi undang-undang dan rasuah, tidak kira Perdana Menteri atau menteri wajar beri laluan kepada orang lain yang boleh berkhidmat dengan integriti, amanah, cekap dan tanpa mengira kepentingan diri,” katanya.
Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Ahli Jemaah Menteri mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kepada rakyat bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, kad laporan prestasi itu bukan satu perkara baharu malah telah dilakukan setiap Perdana Menteri dalam menilai peranan Kabinet yang dibentuk.
Katanya, amaran perlu diberikan kepada menteri-menteri yang gagal menunjukkan prestasi terbaik dalam tempoh enam bulan daripada tarikh mereka dilantik bagi mengelakkan pelaporan itu hanya menjadi permainan retorik.
“Jika gagal sekali lagi, mereka perlu ditukar atau digugurkan sebagai menteri. Apa gunanya ada 70 anggota Kabinet tetapi gagal memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Tetapi saya melihat satu indikator kad laporan iaitu penilaian persepsi awam terhadap Ahli Jemaah Menteri dan Kementerian dan Jabatan di bawah tanggungjawab mereka menunjukan laporan ini bukan sekadar syor sendiri, tetapi memberi ruang kepada rakyat untuk menilai prestasi anggota pentadbiran kerajaan,” katanya.
Bagi pensyarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, arahan supaya menteri membentangkan kad laporan kepada rakyat bertujuan agar masing-masing perlu segera melakukan penambahbaikan jika wujud kelemahan terhadap tugas.
Ujarnya lagi, semua pihak perlu melihat pendekatan itu secara positif agar kekurangan harus diatasi dengan secepat mungkin tanpa melengahkannya dan menunggu sehingga laporan seterusnya.
Beliau berkata, langkah tersebut mencerminkan ketelusan kerajaan pimpinan Ismail Sabri agar rakyat tahu terhadap setiap peranan yang setiap anggota Kabinet. – UTUSAN ONLINE










