Sejak pandemik Covid-19 mula melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak pihak yang terjejas termasuklah jurusolek artis.
Keadaan itu memaksa pihak terlibat keluar dari kepompong lama dan menerokai bidang lain seperti perniagaan makanan agar mampu untuk menyara diri dan keluarga.
Robaeha Ramza Ramli, 34, atau lebih popular dengan panggilan Bee Ramza adalah jurusolek artis yang tidak asing di tanah air.
Anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini disenangi ramai bukan sahaja dalam kalangan selebriti tempatan malah dalam kalangan masyarakat biasa.

Tatarias dan sentuhan magis Bee Ramza kepada pelanggannya, membuatkan perkhidmatan solekannya itu menjadi idaman para wanita terutama dalam kalangan bakal pengantin.
PENDAPATAN TERJEJAS
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bee Ramza mengakui perniagaan solekannya terjejas teruk sejak PKP dilaksanakan pada Mac tahun lepas.
“Memang saya tidak menjana pendapatan langsung selama tiga bulan iaitu pada Mac sehingga Jun tahun 2020, saya langsung tidak dapat tempahan kerja dalam tempoh itu.
“Ia adalah waktu sukar bukan sahaja untuk saya dan kawan-kawan. Kalau saya hanya fokus kepada solekan saja memang saya langsung tidak ada pendapatan,” jelasnya dalam nada sedih.
Menurut Bee, dia mencuba pelbagai alternatif bagi menjana pendapatan sepanjang tempoh tersebut antaranya ialah menjual kanta lekap (contact lens). Namun dalam tempoh dua bulan pertama perniagaannya tidak mendapat sambutan.
“Perniagaan kanta lekap yang saya usahakan turut tidak mendapat sambutan kerana pada ketika itu kebanyakan dari kita masih belum yakin untuk berbelanja secara dalam talian,” kongsinya.
CABARAN BANGKIT SEMULA
Menurut Bee, selepas rakyat menyedari bahawa berbelanja secara dalam talian lebih selamat berbanding perlu keluar rumah, perniagaan kanta lekapnya itu mula mendapat sambutan.
“Selepas raya, saya mula menjana semula pendapatan dari segi penjualan kanta lekap dan membuat review di Instagram.
“Namun apa yang lebih mencabar bagi saya ialah memandangkan pekerja tidak boleh turun ke studio.
“Jadi saya terpaksa turun padang dan membungkus lebih 100 tempahan, semua saya buat sendiri, ia agak sukar tapi saya perlu lakukan demi menyara kehidupan,” jelasnya
Bee menzahirkan rasa syukur apabila perniagaan kanta lekapnya itu sehingga kini masih mendapat sambutan.
TEMPAHAN SOLEKAN
Apabila PKP sudah mula dilonggarkan sedikit, Bee mula menerima tempahan solekan semula sejak akhir tahun lepas.
Menurut wanita lulusan Sarjana Muda Sains Biologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu, disebabkan pandemik dia hanya mengambil satu tempahan solekan sehari bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 atau menjadi kontak rapat.
Tambahnya, dia lebih selesa hanya pelanggan yang berada dalam bilik solekan itu bagi membendung penularan pandemik tersebut.
“Sebelum ini tempahan yang paling banyak saya buat dalam masa sehari adalah sebanyak sembilan slot, namun lepas tu saya terus demam,” kongsinya tergelak kerana sedar dia telah bekerja melebihi had yang mampu ditampung badan.
BERSOLEK KERANA TEATER
Menurut Bee, dia mula berjinak-jinak dalam bidang solekan semasa menuntut di USM, ini kerana menyertai kumpulan teater.
“Saya perlu solek diri sendiri mengikut karakter yang dibawa. Sekiranya watak itu merupakan perempuan jahat, saya perlu mengikut watak tersebut, bukan hanya diri sendiri namun saya juga menjadi jurusolek bagi kawan-kawan teater saya.
“Apabila menamatkan pengajian pada tahun 2008, kerja pertama saya sebagai jurusolek artis adalah semasa majlis perkahwinan kawan-kawan teater saya kerana mereka berkeras mahukan saya sebagai jurusolek. Dari situ saya semakin jatuh cinta dalam dunia solekan,” kongsinya mengingati peristiwa yang masih segar dalam ingatannya.

JURUMEKAP PERTAMA BERHIJAB DI MAC KLCC
Menariknya cerita usahawan kanta lekap Lavue.com ini, ketika sedang berjalan-jalan di KLCC pada 2013 dia terlihat notis mencari mekap artis di butik MAC.
Namun katanya, apabila ditanyakan kepada pekerja di situ, mereka berkata hanya mereka yang mempunyai sijil dari sekolah kecantikan sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan kerja.
Tapi disebabkan semangat dan minatnya yang mendalam dalam dunia penyolekan, Bee Ramza tetap mencuba nasib.
Akhirnya dia diterima untuk bekerja di situ sekali gus menjadikannya wanita berhijab pertama diterima bekerja di MAC.
Setelah setahun bekerja dan menimba pengalaman di butik MAC, Bee kini mempunyai studio sendiri yang diberi nama Ramza Studio di Shah Alam, Selangor.

Bee Ramza kini mempunyai 195,000 pengikut di Instagram.
“Dulu masa saya muat naik gambar, nak dapat like pun susah apa lagi pengikut. Orang siap cakap pencahayaan gambar tak cantik dan sebagainya.
“Tapi pada ketika itu masyarakat semua tidak ambil hirau mengenai like dan pengikut di instagram. Yang kita tahu, kita nak muat naik gambar saja. Sekarang berbeza, Instagram itulah tempat menjana pendapatan.
“Saya bersyukur kerana keluarga menerima dengan baik pilihan kerjaya saya. Mereka sentiasa memberi sokongan.
“Itu adalah salah satu sebab mengapa saya semakin semangat meneruskan kerjaya sebagai jurusolek,” katanya.
Biodata:
Nama: Robaeha Ramza Ramli
Umur: 34 tahun
Pendidikan: Sarjana Muda Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Kerjaya: Jurusolek Artis (MUA) dan Usahawan kanta lekap Lavue.com










