Mukadimah
Ajal, jodoh dan maut ketentuan Allah. Inilah ayat yang selalu kita dengar dalam masyarakat. Walaupun sebenarnya, semua yang berlaku itu adalah ketentuan Allah. Manusia disuruh berikhtiar mencari kebahagiaan hidup di dunia dan juga akhirat.
Antara hal yang paling sulit bagi seorang ibu atau bapa adalah berkahwin baharu selepas kematian pasangan masing-masing. Lebih-lebih lagi jika anak-anak sudah dewasa dan berkerjaya.
Sering kedengaran, golongan bapa terutamanya terpaksa memendam hasrat bernikah lagi kerana ditentang oleh anak-anak. Ada juga kes yang bapa terpaksa makan hati kerana anak-anak tetap berkeras membantah hasrat tersebut.
Walhal, Allah ciptakan manusia itu berpasang-pasangan dan menjadikan lelaki dan wanita saling memerlukan dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Ibarat antara siang dan malam.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Kaunselor/Ahli Psikologi Persatuan Kaunselor Pendidikan Malaysia (Peka), MOHD. ISMAIL MOHAMOOD yang juga Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah Machang di Kelantan bagi mengupas isu ini.
Berkahwin itu adalah fitrah bagi manusia. Namun, bagi pasangan yang sudah berusia lebih-lebih lagi golongan duda atau balu, bernikah baharu sering berhadapan dilema mendapat bantahan terutama anak-anak. Apakah hukum perbuatan anak-anak yang melarang ibu atau bapa mereka kahwin lain selepas kematian pasangan masing-masing?
MOHD. ISMAIL: Fitrah manusia ingin berpasangan dan ia adalah sunnah. Setelah berlalu masa muda seorang manusia yang normal setelah kematian pasangan ingin berpasangan di saat umur senja.
Apabila manusia berada di umur pencen iaitu memasuki umur 50 – 70 an rasa ingin disayangi dan dibelai semakin kuat. Kasih sayang dan rasa dihargai sangat diperlukan bagi melengkapkan keperluan fisiologi dan fitrah psikologi perkembangan manusia. Anak-anak seharusnya memahami perkembangan psikologi ibu dan ayah mereka. Mereka sentiasa perlu didampingi dan dibelai oleh seorang isteri.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan… (al-Rum: 21)

Mengikut Teori Maslow: Bagi manusia selepas keperluan fisiologi, keperluan keselamatan ialah keperluan kasih sayang dan kepunyaan. Keperluan kasih sayang terutama kasih sayang isteri dan anak cucu.
Islam meletakkan asas memenuhi keperluan diri selari dengan keperluan rohani sebagai jalan ke akhirat iaitu disertai dengan pembangunan spiritual dan ia tidak ada peringkat tertentu (Abas, 2009).
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-Hujurat: 13)
Adalah jelas takwa menjadi satu kenyataan kesempurnaan lelaki dan wanita itu apabila keperluan fitrahnya dipenuhi untuk mendapat takwa iaitu dengan berkahwin.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Di antara baiknya, indahnya keislaman seseorang adalah meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat. (Matan Ibnu Majah 3966).
Ini membuktikan setiap anak berasakan ibu atau bapa sentiasa berada dalam kebaikan dan rahmat-Nya dan tidak mahu mereka susah. Sebaliknya mahu hidup mereka sempurna di hari tuanya. Ini boleh dicapai engan merestui mereka berkahwin selepas kematian suami atau isteri.
Sepatutnya anak-anak berlapang dada apabila ibu atau ayah mereka yang telah kematian pasangan berhasrat bernikah lagi bagi memenuhi tuntutan fisiologi dan fitrah mereka.
Dalam Islam, hukum asasnya harus berkahwin. Namun jika kecenderungan situasi kearah kemaksiatan maka hukumnya wajib berkahwin. Maka anak-anak dikehendaki berbincang bagi mencari pasangan untuk ayah atau ibu.
Ini bagi memastikan iman mereka terpelihara dan juga kebahagian mereka di hari tua. Luahan kasih sayang dan keprihatinan seorang anak tidak akan sama dengan seorang isteri.
Dalam keadaan pandemik Covid-19 dengan sekatan rentas daerah dan negeri, berlaku kes kematian lelaki atau wanita bersendirian di rumah. Antara lain kerana mereka ini bapa atau ibu tunggal. Mungkinkah dengan anak-anak membenarkan mereka berkahwin lagi, hal ini tidak berlaku?
Tiada orang yang mahu mati secara berseorangan. Sebab itu Islam menggalakkan kita sentiasa berdoa untuk mati dalam keadaan husnul khatimah.
Termasuk husnul khatimah itu ialah kematian yang dicemburui seperti kematian dalam iman, mati ketika beribadah atau dalam keadaan akhir hayatnya ditemani seorang isteri atau suami terutama dalam musim Covid-19.
Fenomena kesihatan mental sangat meruncing dan di antara faktor utama ialah masalah psikologi dan kesempurnaan hidup. Sekiranya di musim ini setiap pasangan suami isteri dapat hidup bahagia atau mempunyai pasangan yang dapat menyantuni mereka, alangkah bahagianya mereka iaitu ibu bapa kita.
Kebiasaannya mereka yang sudah pencen ini telah sempurna segala keperluan hidup dari segi material. Yang diperlukan cuma kasih sayang dan prihatin serta belaian pasangan hidup.
Oleh itu, antara aspek penting adalah bagaimanakah pengakhiran hidup kita. Ia sebagaimana kata-kata Ibnu Qudamah: “Dalam setiap nafasmu yang paling menentukan adalah nafas terakhirmu. Boleh jadi itulah saat ruhmu diambil. Manusia itu mati di atas kebiasaan hidupnya dan dikumpulkan sebagaimana keadaannya semasa dimatikan.’’ (Ibnu Qudamah. Mukhtasar Minhaj al Qasidin, ms 393)
Antara pokok utama bantahan anak-anak bagi si bapa untuk kahwin lagi antaranya soal harta yang mungkin direbut oleh emak tiri. Adakah faktor ini cukup relevan kerana banyak juga kes kahwin kedua yang hidup harmoni?
Alangkah malang dan haram menyusahkan ibu atau bapa dan tidak memenuhi kesempurnaan hidup mereka dengan alasan untuk mewarisi harta yang mereka miliki.
Harta adalah anugerah Allah untuk seseorang yang rajin berusaha di mana mereka akan memperolehinya. Anak-anak tidak berhak ke atas harta ibu atau ayah mereka kecuali setelah dihibah, diwasiatkan atau dibahagi mengikut faraid (pusaka).
Justeru, seorang ibu atau ayah perlu dipenuhi keperluan mereka terutama dengan harta yang mereka miliki termasuk mencari pasangan hidup yang baharu. Anak-anak sepatutnya tidak jadi penghalang kepada niat dan hasrat ibu atau bapa yang ingin bernikah lagi walaupun pada usia warga emas.
Sepatutnya, sebagai anak inilah masa untuk berbakti kepada ibu atau ayah di hari tua mereka. Ingat dan kenangkanlah jasa mereka mendidik dan membesarkan anak-anak dari kecil hingga mereka menjadi manusia dewasa yang berjaya.
Berusahalah memberi kegembiraan kepada mereka. Jika boleh anak-anak turut bergembira seperti mana gembiranya ibu dan ayah semasa anak-anak mahu mendirikan rumah tangga dulu.
Tentang rezeki, jangan kita bimbang kerana rezeki Allah itu luas dan datang dalam pelbagai bentuk untuk hamba-Nya yang bertakwa.
Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)… (at-Talaq: 2-3)
Amat jelas di sini, perbuatan makruf dalam proses perkahwinan dijamin rezeki oleh Allah termasuk memudahkan urusan pernikahan orang tua kita.
Ada juga anak-anak yang membantah bapa kahwin baru tetapi mereka tidak pula memberi perhatian menjaga semasa sakit pening dan sebagainya. Alasan mereka, sibuk dengan kerja. Apa nasihat kepada golongan begini?
Ramai anak-anak yang tidak menghargai ibu bapa semasa hayat mereka. Sebaliknya, mereka akan hanya terasa kehilangan apabila kematian salah seorang daripada mereka.
Ini yang disebut dan diingatkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa muda mu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Masa untuk berbakti kepada ibu bapa pada masa tua mereka sebelum mereka meninggalkan dunia ini. Jika mereka sudah tiada, berakhirlah peluang ladang pahala buat anak-anak.
Oleh itu, bagi mereka yang masih ada ibu atau ayah, lengkapkanlah keperluan mereka untuk berkahwin lagi.
Apatah lagi jika anak-anak tidak dapat berbakti sepenuhnya kepada mereka seperti penjagaan makan minum mereka dan belaian kasih sayang untuk mereka lantaran kesibukan kerja si anak.

Dalam banyak keadaan, si bapa bukanlah berkahwin kerana faktor seks. Sebaliknya lebih kepada mencari kawan atau teman berbual dan juga yang dapat membantu jika sakit dan pening. Tetapi ramai anak yang tetap membantah?
Kita seharusnya memahami bahawa orang yang kahwin di umur usia senja bukanlah matlamatnya seks tetapi keperluan kasih sayang dan belaian seorang isteri atau suami.
Lebih-lebih lagi semasa sakit demam dan lemah. Maka isteri atau suamilah tempat mengadu dan minta pertolongan dengan cara yang lebih dekat sebagai pasangan hidup.
Tambahan pula, tidak ramai anak yang mampu menjaga orang tua yang sakit sebagaimana pasangan isteri atau suami. Lagipun anak-anak ada keluarga dan tanggungjawab sendiri yang membataskan mereka berkhidmat membantu ibu dan ayah ketika sakit.
Sebabnya, sakit itu datangnya bukan mengikut masa. Sebaliknya, apabila umur makin tua, fitrahnya tubuh badan manusia akan jadi lemah dan tidak segagah usia muda. Ketika inilah penyakit mula datang dan perlukan kepada sokongan dan belaian kasih sayang sama ada isteri atau suami.
Apakah pertimbangan dalam memilih calon yang sesuai dan sekufu untuk golongan duda dan janda ataupun balu?
Calon sekufu juga penting di perkahwinan di hari tua. Kebiasaan manusia akan bertindak mengikut kebiasaan masa mudanya.
Sekiranya masa mudanya seorang yang cerewet atau lagaknya seorang bos maka di hari tuanya susah untuk merendahkan egonya.
Ini menyebabkan anak-anak rimas dan tidak suka. Begitulah sebaliknya. Mencari pasangan hidup hari tua cukup sukar sebab masing-masing mempunyai karakter masa muda yang berbeza.
Sebaiknya sekiranya di hari tua mencari pasangan biarlah sekufu iaitu yang jurang perbezaan hidup masa muda rendah. Sekufu juga termasuk keselesaan anak-anak di antara dua belah pihak termasuk status dan taraf hidup keluarga.
Apakah tindakan yang patut diambil oleh anak-anak terhadap bapa selepas kematian isteri terutama jika bapa itu masih sihat dan bertenaga?
Anak-anak seharusnya mencarikan pasangan untuk mereka dan berbakti selayaknya sebagai seorang yang sihat seperti melancong dan membawa mengerjakan umrah.
Janganlah pula anak-anak melemparkan kata nista atau marah jika bapa menyuarakan hasrat berkahwin lagi. Sebaliknya beri sokongan lebih-lebih lagi jika mereka masih sihat dan aktif.
Dalam islam ada istilah sunnatullah iaitu apa yang kita buat terhadap orang tua kita akan dibalas oleh anak-anak kita. Sebab itu, Saidina Ali Abi Talib berkata: “Jagalah ibu bapamu nescaya anak-anakmu akan menjaga kamu.
Justeru setiap insan yang waras tidak mahu di akhir hayat nanti kita berakhir dengan su’ul khatimah.
Merestui perkahwinan ibu atau bapa yang memerlukan pasangannya demi kebahagian dan keperluannya antara sunnahtullah yang dirasai oleh kita semua.
Ingatlah firman Allah SWT yang bemaksud: Dan Rabb-mu telah memerintahkan agar kamu jangan beribadah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada ibu-bapak. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, ‘Ya Rabb-ku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil. (al-Israk: 23-24).










