Jurang keciciran murid melebar - Utusan Malaysia

Jurang keciciran murid melebar

Sistem KBAT yang dilaksanakan di sekolah dilihat menekan murid sehingga ada yang hilang minat belajar. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu kehilangan pembelajaran (learning lost) me­­rupakan agenda penting yang perlu diberikan keuta­ma­an menjelang pembukaan sekolah secara bersemuka bagi mengecilkan jurang pengua­saan dan keciciran pembelajaran dalam kalangan murid yang semakin membimbangkan.

Masalah kehilangan pem­belajaran itu menjadi isu global yang perlu diselesaikan dalam tempoh segera supaya jurang penguasaan pembelajaran dapat dikecilkan dan membantu murid yang ketinggalan kesan daripada penutupan sekolah sejak awal tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, kebimbangan penguasaan murid kepada pembelajaran terutama dalam kalangan murid sekolah rendah perlu dititikberatkan melalui Peta Pe­rencanaan Pemulihan Persekolahan supaya jurang keciciran tidak terus melebar, sekali gus merugikan sektor pendidikan negara.

“Pembukaan sekolah yang dilaksanakan secara berpe­ringkat tidak boleh hanya fokus kepada jadual pembukaan sekolah semata-mata mengikut kumpulan tahun dan tingkatan tertentu demi mengelak penularan jangkitan Covid-19,” katanya di sini semalam.

Menurut Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021 itu, melalui peta tersebut, terdapat tiga parameter diukur sebagai intervensi untuk me­ngatasi permasalahan pengisian pembelajaran iaitu para­meter pertama ialah intervensi kua­liti pembelajaran murid.

“Kita sedar ada masalah pembelajaran dalam kala­ngan murid lebih-lebih lagi isu pe­nguasaan kemahiran 3M (membaca, menulis dan me­ngira) yang menunjukkan wujud jurang itu.

“Untuk mengatasi masalah ini perlu dibuat secara jelas dengan melihat satu-satu masalah secara terperinci se­perti murid itu di sekolah mana, apa keperluan sebenar murid dan sebagainya supaya penyelesaiannya lebih berkesan,” katanya di sini semalam.

Amin berkata, parameter kedua pula ialah langkah intervensi mengatasi jurang kua­liti pembelajaran berdasarkan lokaliti, manakala parameter ketiga ialah menangani ke­sejahteraan murid dari segi sosial, psikologi, emosi dan kognitif.

Katanya, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu diberi autonomi untuk menetapkan pengisian di bawah peta itu kerana mereka lebih tahu keperluan sebenar murid melalui pendekatan baharu dan tidak boleh lagi terus berada di takuk lama.

“Kalau perkara ini jelas melalui panduan peta ini yang perlu diselaraskan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM, barulah boleh ‘menghidupkan’ jadual pembukaan sekolah nanti,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 2.7 juta murid peringkat rendah dan 2.03 juta pelajar menengah yang mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak penutupan sekolah awal tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat semalam berkata, beliau dan ahli parlimen pembangkang lain sedia memberikan soko­ngan sekiranya Perdana Menteri komited memperbaiki sistem pendidikan bagi mengelakkan ‘generasi yang hilang’ (Lost Generation).

“Kita kehilangan hampir satu generasi sekarang. Walaupun dua tahun ada pembelajaran, ada yang dalam talian dan secara bersemuka bertukar-tukar dan kita tidak boleh nafikan prestasi pendidikan di negara kita memang rendah.

“Kalau betul memerlukan transformasi, adakan transformasi dan belanjalah secukup­nya untuk betul-betul jamin generasi ini diberikan perhatian jauh lebih dari sebelum­nya.

“Perdana Menteri kini berada dalam kedudukan itu jadi tidak perlu takut untuk membawa perubahan ini dan kita akan beri sokongan.,” katanya.

Sebelum ini, tokoh pendidikan, Tun Arshad Ayub mahu semua guru perlu melipatgandakan usaha selain terpaksa berkorban masa dan tenaga bagi membantu pelajar menggarap kembali silibus pelajaran yang ter­tinggal.

KPM sebelum ini menetapkan sesi persekolahan dibuka semula secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober depan dengan kapasiti 50 peratus murid secara penggiliran mingguan bagi pem­belajaran bersemuka.

Kelas secara fizikal itu ha­nya melibatkan negeri di bawah Fasa 3 dan 4.

Sejak pandemik Co­vid-19 melanda negara tahun lalu, kerajaan telah menutup sekolah dan melaksanakan pembelajaran secara dalam talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×