DARIPADA kebakaran, kemalangan jalan raya, menangkap haiwan berbisa, bantuan ihsan sehingga mengendalikan virus maut Covid-19, semuanya dilakukan dengan penuh dedikasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.
Kepakaran JBPM Melaka dalam mengendalikan bahan kimia, biologikal, radiologikal, nuklear dan letupan (CBRNe) sangat diperlukan ketika ini memandangkan jabatan itu mempunyai pasukan elit untuk menguruskannya.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli mengakui, tugasan anggota bomba sangat mencabar sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac 2020. Sebabnya, ia memerlukan kesiapsiagaan yang tinggi dalam apa jua keadaan.

Menurutnya, JBPM Melaka diberi tanggungjawab besar oleh kerajaan untuk melakukan sanitasi dan nyahcemar di kawasan pusat berlakunya wabak.
“Sekiranya wujud kes positif di kawasan berkenaan, anggota bomba yang lengkap berpakaian khas akan segera ke lokasi untuk melakukan sanitasi. Kerja-kerja sanitasi turut dilakukan menerusi perancangan dan penjadualan di lokasi yang dikenal pasti meskipun tiada kes positif direkodkan.
“Kompleks bangunan kerajaan mencatatkan jumlah sanitasi tertinggi iaitu sebanyak 2,658 sanitasi diikuti rumah ibadat (1,352) dan institusi pendidikan (783). Anggota yang bertugas bukan sekadar melakukan sanitasi, malah turut mengambil pendekatan mendidik masyarakat sekeliling,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, JBPM Melaka muncul sebagai agensi paling banyak melakukan sanitasi iaitu 5,710 operasi diikuti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (1,157), Majlis Perbandaran Alor Gajah (1,071), Majlis Perbandaran Jasin (981), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (913) dan Kementerian Kesihatan (773).
Tambah Zulkhairani, operasi terbesar sanitasi JBPM Melaka setakat ini melibatkan pengoperasian stesen nyahcemar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh untuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Jelasnya, setiap kenderaan yang membawa pesakit dari atau ke PKRC dikehendaki ke BBP Ayer Keroh yang terletak 100 meter dari MITC bagi kerja-kerja nyahcemar dan sanitasi.
MU
“Bomba juga mempunyai pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) yang membawa pesakit di rumah untuk dihantar ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
“Sebahagian besar tugas HADR tertumpu kepada keluarga anggota yang mana jika ambulans tidak dapat ambil, maka pasukan ini sedia membantu,” katanya yang juga pakar Hazmat dan CBRNe JBPM.
JPBM Melaka turut menempatkan pasukan elit perubatan yang bertugas di PKRC MITC setiap hari bagi menjalankan pemeriksaan tanda-tanda penting seperti tekanan darah dan paras oksigen dalam badan.
Selain kawasan wabak, lokasi kejadian seperti kemalangan jalan raya dan bunuh diri turut disanitasi memandangkan status mangsa dikategorikan sebagai tidak diketahui (unknown).
Pihak bomba akan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) sebagai langkah berjaga-jaga semasa mengendalikan kes berkenaan.
“Kami pernah meredah banjir dengan memakai PPE bagi memberi bantuan kepada jenazah yang telah meninggal dunia.
“Jika mangsa disahkan positif Covid-19, ia tidak menjadi masalah lagi kerana kami telah melakukan proses nyahcemar di lokasi, pakaian dan jentera.
“Semua agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) pun tidak boleh sewenang-wenangnya keluar dari lokasi kejadian tanpa melalui stesen nyahcemar yang dibina khas oleh pasukan hazmat. Bomba akan pastikan prosedur keselamatan dipatuhi semua pihak walaupun kes tersebut adalah kes polis,” jelasnya.











