PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan RM400 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan memberikan lebih tumpuan kepada enam negeri selain mempertingkatkan ekuiti korporat dalam memperkasakan agenda bumiputera.
Pelan pembangunan lima tahun itu terkandung dalam sembilan fokus utama RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, semalam bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’.
Sembilan fokus yang dirangka memberi tumpuan kepada Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi, Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan, Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia, Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam serta Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan.
Selain itu, RMK12 juga menekan aspek Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia, Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun, Mempercepat Pertumbuhan Hijau dan Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam serta Memastikan Pelaksanaan Dasar Berkesan.
Perdana Menteri berkata, RMK12 menggariskan perancangan strategik yang komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dengan guna tenaga mahir ke arah mencapai pertumbuhan inklusif tanpa mengabaikan alam sekitar.
Peruntukan kali ini lebih besar berbanding RM248.5 bilion dalam RMK11 untuk tujuan pembangunan yang mana 46 peratus diagihkan kepada Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu untuk penyediaan infrastruktur dan utiliti asas.
Ismail Sabri berkata, pembentangan RMK12 melengkapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) supaya momentum pertumbuhan ekonomi kembali utuh serta mencapai matlamat pembangunan dalam jangka masa panjang.
“Usaha lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan, dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.
“Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial diteruskan kepada mereka yang layak. Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.
“Bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan, kita perlu belajar daripada kejayaan yang dicapai negara lain. Maka, inisiatif membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin, termasuk miskin bandar dibantu melalui pendekatan keseluruhan negara. Unit khusus pada peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah akan ditubuhkan.
“Unit ini akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor korporat dan masyarakat sivil,” katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.
“Ini termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.
“Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat.
“Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan KDNK yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memberi fokus bagi merancakkan sektor ekonomi, iaitu pelbagai aspek akan disentuh termasuklah sektor perkhidmatan, pembuatan, pertanian, pembinaan dan perlombongan.
“Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan. Transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan diperkasa.
“Pertumbuhan sektor perkhidmatan akan disokong oleh strategi pemodenan sektor untuk menjadi hab perkhidmatan serantau. Dalam hal ini, dasar dan perundangan yang jelas serta persekitaran perniagaan yang kondusif akan diwujudkan bagi menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti.
“Selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), sektor pembuatan dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan industri Malaysia menjadi pemain penting dalam rantaian nilai global.
“Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar,” jelasnya.
Selain itu, Perdana Menteri turut memaklumkan yang kerajaan akan menyusun beberapa langkah untuk memperkasakan agenda bumiputera.
“Kerajaan sedar bahawa sebilangan besar Bumiputera masih lagi berpendapatan rendah dan miskin berbanding etnik lain. Jurang pendapatan penengah antara bumiputera dan kaum Cina semakin melebar, iaitu empat kali ganda pada tahun 2019 berbanding 1989.
“Saya memberi jaminan bahawa agenda bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan. Ini sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, dan kepentingan sah kaum lain,” jelas beliau.
Menurut Perdana Menteri, hasrat kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.
“Agenda ini akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar bagi memastikan ia menjadi komponen yang diberi keutamaan pada segenap 26 peringkat dan aspek pembangunan. Semua pihak, termasuk pihak kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta akan bersama-sama dalam menjayakan agenda ini,” katanya. – UTUSAN










