Bilangan kes kehilangan insan tersayang akibat pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang janggal kita dengari hari ini.
Statistik mendedahkan lebih puluhan ribu kanak-kanak kehilangan ibu bapa sekelip mata akibat dijangkitan virus membunuh itu.
Tidak mudah menerima ketentuan takdir sehingga ada yang meratapi dan menderita bertahun-tahun lamanya.
Menurut Pakar Perunding Psikologi Klinikal, Pusat Perubatan Management and Science University (MSU), Prof. Dr. Zubaidah Jamil Osman, berduka selepas kematian atau kehilangan dinamakan kehibaan atau grief and loss dan ia adalah proses normal.

“Namun perlu ada hadnya kerana dalam keadaan kehibaan yang keterlaluan, boleh menyebabkan kehilangan kefungsian individu seperti tidak menguruskan diri hingga boleh menjejaskan kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fasa penerimaan
Zubaidah berkata, individu yang melalui proses kehibaan perlu diberi ruang dan masa. Ini termasuklah memberikan sokongan moral kerana sokongan yang baik memudahkan proses penerimaan bahawa seseorang itu sudah tiada.
“Kita selalu memujuk kanak-kanak supaya tidak bersedih. Contohnya, ‘jangan sedih, jangan menangis, tak baik menangis’ tetapi sebenarnya berasa sedih atau menangis adalah tidak salah namun itu sememangnya adalah sebahagian daripada proses kehibaan.
“Kita mungkin boleh menunjukkan sokongan dengan bersama-sama lalui proses kehibaan bersama mereka. Contohnya dengan memberikan kata-kata seperti, ‘adik sedih, mak cik pun sedih juga bila ibu sudah tidak ada. Kita lalui waktu sukar ni sama-sama dan kita doakan kepada ibu ya’,” katanya.
Zubaidah berkata, tempoh berduka berlaku antara satu hingga dua minggu. Dalam tempoh ini individu mungkin berdepan gangguan rutin harian seperti hilang selera makan dan sukar tidur.
Namun sekiranya individu tersebut mempunyai proses atau fasa kehibaan berpanjangan dan ada simptom lain seperti tidak mahu hidup, rasa bersalah, tidak berminat berbuat sesuatu, tidak bertenaga dan hilang daya untuk bekerja, mereka perlu segera dibawa merujuk pakar psikologi atau psikiatri untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Satu contoh, orang yang tidak dapat menerima kematian adalah apabila dia menganggap orang yang sudah tiada itu masih ada dalam rumah. Ada orang masih memasak untuk si mati atau berkata-kata seolah-olah si mati masih ada.
“Ini dinamakan sindrom penafian atau denial. Individu ini mungkin memerlukan perhatian profesional. Jika mengganggu kefungsian itu tandanya individu tersebut memerlukan sokongan dan bantuan,” katanya.
Zubaidah menjelaskan, kaedah mengubat rindu dengan memeluk, mencium dan memegang pakaian atau barangan arwah antara boleh dilakukan kerana ia sebagai salah satu kaedah memberi sokongan psikologi khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
“Tidak menjadi masalah untuk kita menyimpan, memegang dan memeluk pakaian arwah apabila rindu tetapi boleh meneruskan kembali kepada rutin asal seperti bekerja dan berjumpa orang.
Sebenarnya, jika individu tersebut dapat kembali kepada asal selepas proses kehibaan itulah yang terbaik,” katanya.
Jelaskan konsep kematian
Menjelaskan konsep kematian membolehkan proses penerimaan menjadi lebih mudah.
“Kita boleh bantu dengan melukis gambar orang tersayang berada di syurga. Sedekahkan doa dan al-Fatihah amat membantu menenangkan orang yang ditinggalkan,” katanya.
MENANGANI KEDUKAAN
» Elakkan menyalahkan diri sendiri sebaliknya beri masa menerima perasaan sedih dan memahami bahawa kedukaan adalah satu proses normal menghadapi kehilangan.
» Berkomunikasi dan bercerita dengan orang lain mengenai individu yang pergi meninggalkan kita. Elakkan daripada berada bersendirian.
» Jangan abai kesihatan diri, teruslah amalkan gaya hidup sihat.
» Segera melakukan rutin harian boleh mengurangkan rasa kerinduan. Sibukkan diri dapat membantu mengelakkan diri daripada terlalu berfikir tentang orang yang sudah tiada.










