IPOH: Selain Istana Raja Muda di Teluk Intan yang mungkin lenyap apabila dibuka untuk jualan umum, Perak mempunyai kira-kira 12 lagi bangunan warisan sejarah Melayu lain yang dikhuatiri turut akan dijual atau rosak dimamah usia.
Persatuan Sejarah Malaya mendedahkan, antara bangunan warisan Melayu yang berdepan kemusnahan ialah Sekolah Melayu Kampung Kuchai, Pejabat Warta dan Rumah Dato Seri Adika Raja yang kesemuanya terletak di Ipoh.
Lain-lain warisan ialah Masjid Papan di Pusing dekat Batu Gajah dan Kota Long Jaafar di Bukit Gantang.
Turut tidak dijaga Makam Dato Sagor di Matang, Istana Raja Bendahara dan bangunan Baitul An-Nur di Kuala Kangsar, Rumah Tok Pelita di Pasir Salak, Rumah Besar di Beruas dan Masjid Tinggi di Bagan Serai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli jawatankuasa persatuan itu, Hairul Alias berkata, Rumah Besar di Beruas, iaitu bangunan kayu berusia 120 tahun yang pernah menjadi kediaman seorang pembesar negeri di Beruas yang sudah dirobohkan.
“Satu lagi warisan Melayu yang terbiar ialah bangunan bersejarah di Kampung Kuchai di sini iaitu bangunan bekas Sekolah Melayu Kampung Kuchai di Jalan Dato Onn Jaafar di Ipoh yang berusia lebih 120 tahun.
“Bangunan berkenaan nyaris musnah terbakar dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah bekas guru bersebelahan bangunan sekolah tersebut pada Julai lalu,” kata beliau.
Menurut beliau, sebelum ini, sebuah bangunan bersejarah dengan nilai warisan tinggi di bandar ini yang juga terletak di Kampung Kuchai, iaitu sebuah rumah kayu lenyap apabila dirobohkan pada Januari lalu oleh pihak tidak diketahui dan hanya meninggalkan sisa-sisa runtuhan yang berselerakan.
Binaan rumah kayu peninggalan golongan aristokrat Melayu ini dipercayai berusia 100 tahun.
Hairul memberitahu, apa yang dikesalkan ialah bangunan warisan Melayu tidak dijaga dengan baik, sebaliknya bangunan peninggalan kolonial dibaik untuk menjadi bahan penceritaan dari generasi ke generasi.
“Keadaan ini tidak adil. Kenapa bangunan warisan Melayu yang ada cerita dan sejarahnya tersendiri seperti dianaktirikan sedangkan banyak bangunan warisan kolonial seperti Istana Kellie di Batu Gajah dan Stesen KTM di Ipoh dijaga dengan elok.
“Kenapa nampak sahaja bangunan warisan Melayu hendak dijual, dirobohkan dan dibiarkan sedang bangunan kolonial dijaga. Kita sudah sangat kurang bangunan warisan Melayu,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, nasib warisan Melayu yang `malang’ juga berpunca daripada sikap kaum Melayu sendiri tidak seperti kaum Cina yang memelihara warisan sejarah mereka dengan baik.
“Orang Cina umpamanya, amat menjaga tapak warisan, tak kiralah apa saja walaupun rumah ibadat, tetap dijaga.
“Mengapa kita tidak melihat bangunan warisan Melayu sebagai aset, persatuan sedih kerana banyak warisan Melayu tidak dipelihara dengan baik,” katanya.
Jelas Hairul lagi, pihaknya tidak menolak bangunan sejarah tinggalan kolonial seperti era Belanda dan British agar terus dijaga kerana ia mempunyai nilai sejarah tinggi.
“Tetapi jangan abaikan warisan Melayu. Kalau dimusnahkan, dirobohkan dan dibiarkan dan menaikkan warisan kolonial, nanti apa bangsa kita nak tengok?.
“Walaupun bangunan warisan sejarah itu adalah hak milik persendirian tetapi apa salahnya agensi yang berkenaan memulihara bangunan warisan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyemak balik bangunan warisan Melayu yang didakwa terabai dan musnah manakala bagi isu Istana Raja Muda perkara tersebut perlu dirujuk kepada Menteri Besar. – UTUSAN










