Buang ibu kerana gila harta - Utusan Malaysia

Buang ibu kerana gila harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini saya ber­kongsi kisah hidup Marina (bukan nama sebenar) yang disisih kerana sikap tamak saudara kandung berebut harta pusaka.

Akui Marina, dia tidak berniat mengaibkan darah daging sendiri, apalagi kisah itu sudah tiga tahun berlalu. Kesediaan Marina untuk berkongsi cerita dengan saya baru-baru ini bertujuan memberi pengajaran kepada orang lain .

Manusia tamak dan gila harta akan sanggup berbuat apa sahaja termasuk memusuhi ibu bapa sendiri dan hilang saudara-mara.

Ia sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi: Dua serigala yang lapar yang dilepas di tengah kumpulan kambing tidak lebih merosakkan dibanding dengan sifat tamak manusia terhadap harta dan kedudukan yang sangat merosakkan agamanya.

Dalam masa sama memberi kesedaran tentang kepentingan pengurusan wasiat serta pembahagian harta semasa masih hidup elak waris berkonflik.

Marina adalah anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Dia mempunyai dua abang, yang sulung Asri dan yang kedua, Fadli (bukan nama sebenar).

Selepas kematian bapa pada penghujung 2016, ibu Marina masih sihat dan tinggal sendirian di rumah pusaka tinggalan arwah ayah mereka.

Selang beberapa bulan, ibu Marina jatuh sakit dan kesihatannya semakin merosot akibat terjatuh dalam bilik air. Ketika itu kedua-dua abangnya, baik Asri mahupun Fadli menawarkan diri menjaga ibu mereka.

Paling tidak boleh diterima Marina, Asri tergamak mencadangkan ibu dihantar ke rumah orang tua-tua sebaik tanah dan rumah pusaka tinggalan arwah dijual. Ketika itu Marina baru sahaja memulakan pekerjaan di salah sebuah hotel di ibu negara.

Asri dan Fadli mendakwa tidak mampu menjaga ibu dengan alasan masing-masing sibuk bekerja dan mempunyai tanggungan ramai.

Marina sendiri hairan bagaimana Asri dan Fadli sanggup menipu sedangkan mereka dan pasangan masing-masing bekerja dan bergaji besar.

Tanpa berfikir panjang, Marina mengambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke kampung menjaga ibu. Keputusan Marina pulang ke kampung ditentang hebat Asri dan Fadli.

Marina dianggap tidak mengenang budi kepada mereka yang selama ini berhabisan duit menanggung pendidikannya dari awal hingga ke menara gading.

Sepanjang tempoh menjaga ibu, Asri dan Fadli tidak pernah mengirimkan wang belanja kepada ibu mereka.

Dengan sedikit simpanan ibu dan wang yang sempat disimpan semasa bekerja selama empat bulan itulah digunakan Marina untuk perbelanjaan mereka dua beranak. Dia juga mengambil inisiatif belajar membuat kek dan pastri melalui laman sosial bagi menampung perbelanjaan harian.

Berkat ketekunan dan kerja keras, perniagaan diusahakan Marina semakin maju dan sudah mampu menyewa sebuah kedai kecil di pekan berhampiran serta menggajikan dua pekerja.

SIA-SIA

Menceritakan sepanjang tempoh dua tahun menjaga ibu, Marina kerap menghubungi dan mengingatkan kedua-dua abangnya supaya pulang ke kampung menziarahi ibu mereka.

Namun, semuanya sia-sia apabila mereka memberi alasan terlalu sibuk dan tidak sempat menziarahi ibu walaupun pada hujung minggu. Marina tahu kenapa Asri dan Fadli sudah jarang menghubungi apalagi pulang ke kampung menziarahi ibu.

Segala-galanya berpunca apabila ibu menolak cadangan Asri mahu menjual tanah dan rumah pusaka tinggalan arwah ayah.

Sebelum itu Asri kerap pulang ke kampung dan tetap tidak putus asa memujuk, namun keputusan ibu tidak berubah. Bermula dari situlah, hubungan Asri dan ibu semakin dingin.

Sehinggalah sehari sebelum ibu meninggal, Marina menghubungi kedua-dua abangnya supaya pulang segera selepas mendapati keadaan ibu mereka makin tenat.

Malangnya, Asri dan Fadli tidak menunjukkan rasa terkejut mahupun pulang segera sehinggalah ibu menghembuskan nafas terakhir di sisi Marina pada pagi Jumaat awal Januari 2018.

Marina sekali lagi menghubungi Asri dan Fadli untuk memberi peluang mereka menatap wajah ibu, tetapi sia-sia kerana masing-masing tetap memberi alasan sama, iaitu terikat dengan kerja penting pada hari itu.

Asri turut meminta Marina menguruskan pengebumian ibu tanpa menunggu mereka pulang.

Apa yang menyedihkan, kedua-dua abangnya yang tiba di tanah perkuburan selepas jenazah ibu selamat dikebumikan tidak menunjukkan perasaan menyesal atau bersalah walaupun tidak berkesempatan bertemu arwah ibu buat kali terakhir.

Sebaik usai urusan pengebumian dan pulang ke rumah, Asri memaksa Marina agar segera menyerahkan geran tanah pusaka yang disimpan arwah ibu.

Biarpun berkali-kali Marina cuba menjelaskan pesanan arwah ibu agar tanah pusaka itu tidak dijual, Asri dan Fadli enggan mendengar. Itulah kali terakhir Marina melihat kedua-dua abangnya.

Sehinggalah enam bulan selepas itu Marina menerima notis arahan agar mengosongkan rumah pusaka itu kerana didakwa telah berpindah milik.

Hanya Allah yang tahu perasaan Marina ketika itu. Dia tidak menyangka kali ini kedua-dua abangnya sanggup memusuhi dan membuang adik sendiri kerana harta.

Marina kini tinggal di kedai yang disewa sejak membuka perniagaan kek dan pastri sejak tiga tahun lalu.

Ditanya tentang Asri dan Fadli, Marina terdiam seketika dan riak wajahnya sedih ditambah pula matanya sedikit berkaca menahan air mata jatuh.

Enggan memperinci apa yang berlaku, Marina berkata, kedua-duanya telah menerima balasan atas perbuatan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×