LANGKAWI: Keputusan kerajaan mewajibkan pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke pulau Langkawi bukan bertujuan menyusahkan pelancong.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu diambil bagi mengelak berlakunya jangkitan dan peningkatan kes Covid-19 di pulau itu disebabkan kehadiran pelancong.
Pada masa sama, katanya, kerajaan ingin memastikan projek rintis gelembung pelancongan di pulau legenda ini berjaya dan menjadi tanda aras bagi pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan lain.
Katanya, jika berlaku peningkatan kes Covid-19, terdapat kemungkinan tindakan drastik termasuk menutup kembali Langkawi kepada pelancong terpaksa diambil kerajaan bagi mengekang penularan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah meminta ujian saringan dibuat ke atas pelancong sebelum ke Langkawi, walaupun ia agak mengelirukan orang ramai, tetapi ia dibuat dengan niat baik.
“Dalam mesyuarat sebelum ini, kita putuskan ujian saringan tidak perlu kerana hanya individu lengkap dua dos dibenarkan ke Langkawi, tetapi mereka sebenarnya masih boleh dijangkiti,” kata beliau selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pembukaan Semula Sektor Pelancongan di Langkawi di sini semalam.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, tempoh dua minggu pertama juga penting dalam menentukan kejayaan projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi.
“Dalam tempoh dua minggu ini kita akan memantau jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di Langkawi dan ia akan dijadikan tanda aras bagi menentukan sama ada destinasi pelancongan lain dapat dibuka.
“Kita harap tidak ada kes serius berlaku dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan sepanjang tempoh berkenaan bagi membolehkan ekonomi Langkawi kembali pulih,” katanya.- UTUSAN











