Taraf warganegara automatik untuk anak beri kelegaan ibu kahwin pasangan asing - Utusan Malaysia

Taraf warganegara automatik untuk anak beri kelegaan ibu kahwin pasangan asing

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia dan pasangan rakyat asing mendapat kerakyatan negara ini secara automatik, melegakan kaum ibu yang berhadapan dengan masalah untuk mendaftarkan anak mereka.

Bercakap dengan Utusan Malaysia, Senator Dewan Negara, Fadhlina Siddiq berkata, keputusan mahkamah itu telah mengangkat beban dan memberi keadilan sewajarnya kepada kaum ibu yang selama ini tidak boleh melaksanakan pendaftaran pengenalan anak mereka.

“Dalam proses undang-undang, memang semua yang tidak berpuas hati dengan keputusan berhak membuat rayuan, cuma apabila mahkamah mengambil pendekatan bahawa ibu juga mempunyai hak yang sama seperti bapa dalam isu hak kerakyatan, maka ini adalah perkara yang boleh terus dibuat sebagai polisi dan undang-undang.

“Ini adalah kerana mahkamah juga telah membuatkan keputusan itu secara harmoni. Semua undang-undang yang terkait dengan isu kanak-kanak dan kerakyatan ini. Isu ini adalah sebahagian daripada hak asasi manusia,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir yang memutuskan, perkataan ‘bapa’ dalam Jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Hakim Akhtar membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula, yang difailkan bagi menuntut perisytiharan bahawa anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Saman itu difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Disember tahun lalu.

Dalam pada itu Fadhlina berkata, mahkamah juga mengarahkan semua pihak autoriti berkaitan mestilah mengeluarkan dokumen yang berkaitan dengan pengenalan identiti anak-anak ini termasuk surat beranak dan kad pengenalan.

“Ini menyelesaikan masalah secara menyeluruh. Ibu dan bapa kini mempunyai hak yang sama untuk mendaftar pengenalan anak masing-masing dan akan melalui proses yang sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×