Covid-19 serlah peranan wanita - Utusan Malaysia

Covid-19 serlah peranan wanita

Wanita perlu diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan golongan itu di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia tidak terkecuali Malaysia, menjejaskan aktiviti harian warganya.

Banyak perancangan tergendala akibat pergerakan yang terbatas dengan pelbagai bentuk perintah kawalan yang dilaksanakan bagi mengawal jangkitan virus membunuh itu.

Dalam menghadapi situasi semasa ini, wanita antara kelompok paling besar peranannya sebagai barisan hadapan untuk diri sendiri dan ahli keluarga yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka tidak sekadar menjadi suri rumah, sebaliknya antara individu penting mendepani pandemik.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendedahkan lebih 70 peratus petugas sektor kesihatan dan sosial adalah wanita.

Dalam pada itu, Jabatan statistik Malaysia sehingga Mei 2021 melaporkan sebanyak 6.13 juta daripada 15.88 juta daripada jumlah populasi wanita di Malaysia.

Oleh itu, adalah amat wajar penghargaan diberikan kepada mereka yang telah banyak berkorban masa dan tenaga serta bertungkus lumus sebagai barisan hadapan demi memastikan kesihatan setiap penduduk dan individu terjamin daripada dijangkiti Covid-19.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, pandemik memberi kesan langsung kepada ekonomi, bilangan kematian, penyakit dan kesan jangka panjang kepada semua tanpa mengira jantina.

SHARIFA EZAT WAN PUTEH

PANDEMIK DAN WANITA

Katanya, di seluruh dunia, wanita menjalankan lebih banyak kerja (terutama kerja tidak berbayar) atau lebih sepuluh kali ganda berbanding lelaki.

“Institusi Sosial Pusat Pembangunan (OECD) dan Indeks Gender (SIGI) mendedahkan beban wanita bertambah semasa pandemik.

“Ini kerana mereka perlu menguruskan ahli keluarga tetapi pada masa sama masih perlu bekerja dari rumah,” katanya.

Bebanan tugas itu secara tidak langsung meningkatkan risiko tekanan, lebih-lebih sekiranya memiliki pasangan yang mudah naik angin,” katanya pada seminar dianjurkan dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59, secara maya baru-baru ini.

Sambutan bertemakan Wanita Berjuang Menghapus Covid-19 itu adalah anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Turut serta Penasihat SME Corporation Malaysia, Datuk Dr. Hafsah Hashim

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut bertitah dalam majlis tersebut.

KURANG DIDENGARI

Bagaimanapun kata Sharifa Ezat, beban dan tekanan dilalui wanita tidak dirasai berikutan suara mereka kurang dipaparkan di media massa, malah kurang menarik perhatian pihak pemerintah lebih-lebih lagi tiada perubahan polisi untuk isu berkaitan wanita.

“Beban dihadapi wanita ini, pada dasarnya boleh menggagalkan agenda kesaksamaan wanita ke separuh dekad terkebelakang. Ini berikutan wanita lebih tertekan dan berkemungkinan burn out, penat melampau akibat banyak kerja,” jelasnya.

Mengenai cara mengatasi pandemik dan peranan wanita di negara lain, Sharifa Ezat berkata, pendekatan banyak dipengaruhi latar masyarakatnya.

“Di negara maju, wanita dikatakan peneraju dan lebih serius melihat akibat pandemik.

“Wanitanya lebih berjaya membuat keputusan dan menjalankan pengesanan kontek kepada kes. Contohnya Presiden Taiwan, Tsai Ing Wen yang berjaya menjalankan ujian dengan lebih efektif dan program mengesan kontek yang lebih cekap.

“Walaupun wanita dilihat mempunyai keupayaan tinggi menangani pandemik, malangnya, hanya 21 peratus menteri kabinet dunia adalah wanita,” katanya.

PERNIAGAAN DAN EKONOMI

Sementara itu, Hafsah memberitahu, pandemik turut mencetuskan perubahan cara hidup dan masa depan usahawan wanita.

Ini termasuk corak kerja bekerja dari rumah, peningkatan kereta elektrik dan kebolehan meramal jenayah sebelum terjadi, penyediaan makanan daripada stem sel, komputer masa depan dan sebagainya.

HAFSAH HASHIM

Katanya kajian Pusat Perdagangan Antarabangsa mendedahkan sebanyak 64 peratus usahawan wanita terkesan semasa pandemik berbanding 52 peratus syarikat lelaki.

Lebih 90 peratus usahawan wanita melaporkan pengurangan jualan semasa pandemik dan aliran wang tunai hanya boleh bertahan tiga bulan sahaja.

“Begitupun saya menasihatkan usahawan wanita untuk tidak panik. Walaupun pemulihan ekonomi agak panjang namun ia boleh dipendekkan apabila ramai sudah divaksinisasi.

“Saya lihat banyak negara luar turut memberi fokus yang lebih kepada pemulihan ekonomi domestik. Justeru, kita boleh fokus bergerak kepada data sebenar dan big data untuk membuat ramalan yang tepat dan tangkas dalam membuat keputusan,” katanya.

Hafsah turut menggalakkan wanita memilih perniagaan dalam talian yang sesuai dengan situasi semasa.

“Manfaatkan peluang bekerja dari rumah untuk mengembangkan perniagaan masing-masing serta mengamalkan keseimbangan keluarga dan kerja,” katanya.

Sementara itu, bagi membantu wanita khususnya yang berkerja di rumah, Hafsah menyarankan majikan dapat memberi kelonggaran waktu bekerja, semasa dan selepas pandemik bagi mengelakkan kehilangan pekerja mahir dan berbakat dalam kalangan pekerja wanita.

TERIMA KASIH WANITA

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga atas kerja keras ditunjukkan pekerja wanita di negara ini, terutamanya petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19.

Tunku Azizah bertitah, petugas barisan hadapan merupakan benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan menabur khidmat secara penuh ikhlas, amanah, berkesungguhan dan bersemangat juang.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia. Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak Covid-19,” titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah turut berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.

“Saya memandang berat tajuk forum yang dianjurkan NCWO sempena Hari Wanita tahun ini setelah kita melalui kesulitan wabak Covid-19, amat tepatlah masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan segera memulihkan negara.

“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah baginda.

Wanita antara kelompok paling besar peranannya sebagai barisan hadapan untuk diri sendiri dan ahli keluarga yang lain. – GAMBAR HIASAN

Tunku Azizah turut berharap wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan kaum wanita di negara ini.

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan syabas kepada semua wanita yang telah memberi sumbangan sukarela semasa musibah Covid-19 melanda negara termasuk menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, orang kurang upaya serta kanak-kanak.

“Telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) wanita telah banyak beri sumbangan dalam membanteras wabak Covid-19.

“NCWO pula telah mengutip derma untuk membekalkan pakai pelindung diri bagi wad Covid-19 Pediatrik termasuk pakaian, sarung tangan dan kaki serta penutup muka.

“NCWO juga menyumbang alat bantuan pernafasan termasuk monitor, pelitup wajah dan kotak intubasi kepada beberapa hospital kita,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini