Kelantan akhirnya bebas hutang - Utusan Malaysia

Kelantan akhirnya bebas hutang

PEMAIN Kelantan kini boleh memberi tumpuan penuh kepada saingan Liga M selepas semua tunggakan gaji selesai semalam. – Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Norizam Tukiman membuktikan beliau bukan ‘bercakap kosong’ apabila melunaskan semua hutang The Red Warriors (TRW) meskipun baru tiga ming­gu menjadi pemilik pasukan.

Tindakan itu secara tidak langsung memperlihatkan kesungguhan Norizam atau Zamsaham untuk mengembalikan semula reputasi TRW sebagai gergasi bola sepak tempatan selepas mengambil alih pasukan awal bulan ini.

Secara keseluruhan, beliau mengeluarkan RM3.6 juta untuk membayar hutang dan perbelanjaan TRW bagi menghadapi baki saingan Liga ­Malaysia (Liga M) musim ini.

Bayaran tersebut membabitkan 15 bekas pemain dan pegawai yang pernah menabur bakti bersama TRW bermula dari 2017, 2018 dan 2019.

Antara pemain terlibat Khairul Fahmi Che Mat, Branden Gan, Flavio Beck Junior, Bruno Lopez, Alaeddine Bouslimi, Alessandro Celin, Seydi L. Imam, Mohd. Farish Shah Rosli, Mohd. Badhri Radzi, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd. Nor Farhan Mohamad.

Barisan pegawai pula me­adalah Sathit Bensoh, Mohd. Hisham Jainuddin, Mohd. Hashim Mustapa dan Yusri Che Lah (masih berkhidmat).

NORIZAM TUKIMAN

Kata Norizam, semua tunggakan hutang berjumlah RM2.4 juta dibayar penuh kepada bekas pemain dan pegawai yang terlibat.

Bagaimanapun hutang me­libatkan beberapa lagi pemain dan pegawai akan diselesaikan secara berjadual dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berbabit.

Selain itu, beliau turut melunaskan tunggakan gaji antara lima hingga enam bulan membabitkan barisan pemain yang sedang beraksi bersama TRW musim ini.

“Saya beli TRW dengan tujuan menyelamatkan pasukan itu dan berusaha menyelesaikan semua masalah yang ada sebelum ini.

“Kesemua jumlah (RM3.6 juta) turut merangkumi perbelanjaan pasukan untuk mengharungi baki Liga Malaysia,” katanya ketika dihubungi ­Utusan Malaysia semalam.

Pada 3 September lalu, Norizam muncul penyelamat Kelantan apabila melabur RM6.8 juta untuk memiliki saham TRW Sdn. Bhd.

Beliau ber­syukur berjaya melunaskan bayaran lebih awal dan berharap TRW dapat diberi lesen untuk beraksi dalam Liga M tahun depan.

Selepas ini beliau mahu barisan pemain memberikan tumpuan kepada prestasi permainan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×