Empat lelaki bunuh rakan ke tali gantung - Utusan Malaysia

Empat lelaki bunuh rakan ke tali gantung

EMPAT tertuduh diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah membunuh rakan mereka tujuh tahun lalu di Kompleks Mahkamah di Ayer Keroh, Melaka. -UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat lelaki termasuk dua beradik dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang rakan mereka, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Firuz Jaffril membuat keputusan itu terhadap M. P. Namasivayam, 30 ; P. Narendranpathy, 33; P. Sethupathi, 32, dan Aiman Mazlan, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Pada prosiding yang berlangsung kira-kira dua jam itu, Mohd. Firuz pada penghakimannya turut melepas dan membebaskan dua lagi tertuduh, A. Satish, 26, dan G. Vincent lawrence, 28, daripada pertuduhan itu.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa mencapai niat bersama menyebabkan kematian B. R. Sivan yang ketika itu berusia 32 tahun di hadapan sebuah rumah di Jalan BJ 2, Taman Bertam Jaya, sekitar 10.45 malam, 4 Mei 2013.

Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Sethupathi dan Aiman turut didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap abang dan adik Sivan iaitu B. R. Muniandy dan B. R. Garnesan yang masing-masing kini berusia 36 dan 41 tahun dengan menggunakan parang iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 326 kanun sama itu, mereka dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkapan pada 11 September 2013 lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Effizah Ernie Idris dalam hujahannya berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk kepentingan awam, keseriusan dan kekerapan kes bunuh serta senjata yang digunakan dalam insiden itu.

Hujah beliau, kesemua mangsa dalam kes tersebut merupakan adik beradik selain insiden pembunuhan itu berlaku di hadapan ibu dan anak saudara mangsa.

Kejadian itu hujahnya, turut meninggalkan kesan mendalam terhadap ibu mangsa yang mana seorang anaknya maut manakala dua lagi mengalami cacat kekal rentetan daripada insiden berkenaan.

Terdahulu, seramai 36 saksi pendakwaan dan 10 saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja, Andrew Lourdes, Raftfizi Zainal Abidin dan Asmawi Ismail. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×