Isu HSKLU: Bagaikan kali kedua ‘kena main’ - Utusan Malaysia

Isu HSKLU: Bagaikan kali kedua ‘kena main’

Tinajauan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Selangor pada 2 September 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Isu penyah­wartaan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) membabitkan kawasan seluas 536.7 hektar mengimbau nasib Orang Asli suku Temuan di Kampung Busut Baru di sini yang mengibaratkan komuniti mereka sudah dua kali ‘kena main’.

Ini kerana sebelum tercetus kontroversi nyahwarta di Kuala Langat, etnik tersebut kira-kira 30 tahun lalu ‘dipaksa’ berpindah dari kawasan Hutan Simpan Kekal seluas 404.7 hektar di Sepang yang kini menjadi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menceritakan kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli, Samsul Senin berkata, ketika itu terdapat 85 keluarga mendiami sekitar Hutan Simpan Kekal Sepang sebelum mereka disuruh berpindah secara berfasa mulai Ogos sehingga November 1993.

SAMSUL SENIN

Menurut beliau, semasa proses pemindahan demi pembangunan tersebut, ada sebahagian mereka mendakwa terpaksa keluar dari penempatan asal walaupun rumah baharu di Kampung Busut Baru di Kuala Langat belum siap.

Justeru, Samsul yang mahu memastikan kepentingan komunitinya tidak ‘dianiaya’ mempersoalkan kenapa kediaman mereka terus ‘diganggu’ susulan tercetusnya isu nyahwarta HSKLU ketika keluasan 1,000 ekar (404.7 hektar) tanah buat mereka seperti dijanjikan kerajaan belum diselesaikan.

“Isu nyahwarta HSKLU telah menambah masalah penduduk Kampung Busut Baru sedangkan kawasan kampung belum lagi diwartakan kerana masih dalam pertikaian mengenai keluasan 404.7 hektar tanah yang tidak cukup seperti dijanjikan kerajaan semasa pindah dari Sepang.

“Dahulu, ketika pindah, ber­laku banyak masalah juga se­perti kami terpaksa berdepan ketiadaan bekalan air dan elektrik, banjir bila hujan, rumah bocor, tandas tersumbat, jalan berselut, tiada kebun seperti dijanjikan dan pampasan kira pokok,” luah beliau.

Oleh itu, Samsul berkata, beliau dan suku kaumnya berasa seolah-olah sudah dua kali ‘kena main’ oleh kerajaan yang belum menyelesaikan janji.

Terdahulu, isu penyahwartaan HSKLU menarik perhatian ramai apabila pembangunan yang hendak dilaksanakan di kawasan itu didakwa bakal memusnahkan khazanah alam yang masih terdapat dalam hutan paya gambut itu.
Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, masih terdapat flora fauna unik dalam hutan berkenaan seperti pokok kempas, meranti, petaling, manggis hutan, terap dan atap bertam.

Selain itu, hutan paya gambut itu turut menjadi habitat bagi beberapa haiwan yang dilin­dungi seperti beruang matahari dan tupai terbang. HSKLU turut dikatakan menjadi tempat tinggal ikan laga langat merah (Betta Livida) yang dikatakan hanya terdapat di hutan tersebut.

Susulan bantahan banyak pihak, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersetuju membawa semula perkara nyahwarta tersebut ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Ne­geri (MMKN) 8 September ini.

SHAQ KOYOK

Dalam pada itu, seorang aktivis Orang Asli dari Kampung Orang Asli Pulau Kempas berhampiran Kampung Busut Baru, Shaq Koyok pula mendakwa penempatan suku pribumi di sini sudah lama wujud iaitu sekitar 1880-an berdasarkan rakaman gambar penjajah British.

“HSKLU dan HKSLS pada asalnya adalah hutan yang sama. Malah penduduk terutama di Kampung Orang Asli Pulau Kempas dahulu boleh masuk sejauh sehingga kawasan Putrajaya dan KLIA (kini) untuk mencari hasil hutan.

“Kemudian selepas ba­nyak pembinaan berhampiran kawa­san sekeliling, kawasan hutan menjadi semakin sempit.
“Selain kami, yang terkena tempias paling teruk adalah penduduk Kampung Busut Baru yang dipindahkan dari tapak asal kerana pembinaan lapangan terbang,” ujarnya.- MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN